'Tak boleh samakan tangguh pemilihan UMNO dengan tangguh Parlimen'
SHAH ALAM – Penangguhan pemilihan UMNO tidak boleh disamakan dengan penangguhan sidang Parlimen kerana melibatkan 66,287 mesyuarat.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemilihan parti melibatkan seramai 3.3 juta ahli UMNO dengan pecahan sebanyak 21,135 mesyuarat cawangan, 21,058 mesyuarat cawangan wanita, 15,496 mesyuarat cawangan pemuda dan 8,598 mesyuarat cawangan puteri.
“Terdapat juga 764 persidangan perwakilan bahagian terdiri daripada 191 persidangan untuk setiap empat peringkat di bahagian, wanita, pemuda dan puteri.
“Sidang Parlimen masih boleh diteruskan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang mudah untuk dipantau serta dipastikan pematuhannya,” katanya yang berkongsi perkara itu di Facebooknya pada Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan UMNO tangguh pemilihan MT tidak sah: RoS
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebelum ini menetapkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah.
Ketua Pengarahnya, Jasri Kasim berkata, ketetapan itu dibuat berikutan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu melahirkan kebimbangan sekiranya perkembangan mutakhir itu satu tindakan terdesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) cuba menekan dan melemahkan UMNO.
“Insya-ALLAH UMNO tidak berdiam diri. UMNO tahu apa perlu dilakukan. Namun, bagaimana dengan ahli Parlimen UMNO yang masih menyokong kerajaan PN?
“Apakah mereka yang mempertahankan kerajaan PN pimpinan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merestui tindakan kerajaan PN ke atas parti mereka sendiri?
“Saya seru kepada mereka, bukalah mata hati dan insaflah perjuangan politik yang sebenar demi rakyat dan negara,” tulisnya di media sosial itu.
Ahmad Zahid turut menambah, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan telah memberi penjelasan lengkap mengenai perkara berkaitan pemilihan UMNO yang dibangkitkan RoS.
Menurutnya, penjelasan itu bermula daripada perbincangan Mesyuarat MKT UMNO sehingga kepada respons oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), RoS dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung penangguhannya.
“Inti pati surat oleh KKM dan MKN yang mencadangkan agar mesyuarat dan pemilihan UMNO dibuat secara dalam talian turut didedahkan.
“Jika tidak boleh dibuat secara online, maka pemilihan perlu ditangguhkan hingga ke satu tarikh bila pandemik Covid-19 terkawal.
“Datuk Seri Ahmad Maslan turut menerangkan tentang UMNO yang akhirnya memutuskan pemilihan ditangguhkan,” katanya.
Menurutnya, ia atas faktor UMNO tidak pernah melaksanakan mesyuarat dan persidangan dengan pemilihan secara dalam talian di semua peringkat.
“Kekhuatiran berlaku kesilapan teknikal yang tinggi dengan kesukaran liputan internet di kawasan luar bandar suatu masalah yang benar,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!