Tangisan Azizulhasni akan bakar semangat ahli sukan negara

Azizulhasni bersama pingat perak yang dimenanginya.- Foto FB Majlis Sukan Negara
Azizulhasni bersama pingat perak yang dimenanginya.- Foto FB Majlis Sukan Negara
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyifatkan tangisan atlet berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang akan menjadi pembakar semangat untuk ahli sukan di negara ini untuk terus bangkit demi nama negara.

Menurutnya, Azizulhasni telah memberikan inspirasi buat semua ahli sukan termasuk rakyat di negara ini secara keseluruhannya biarpun terlepas peluang untuk meraih pingat emas dalam acara keirin di Velodrome, Izu, pada Ahad.

Malah katanya, ketahanan, kekuatan mental serta keazaman pelumba yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman itu untuk memenangi acara berkenaan sudah cukup untuk menggembirakan seluruh rakyat negara ini.

Azizulhasni pada perlumbaan keirin pada Ahad.- Foto FB Majlis Sukan Negara
Azizulhasni pada perlumbaan keirin pada Ahad.- Foto FB Majlis Sukan Negara

“Saya tidak boleh bayangkan perasaan Jijoe (Azizulhasni) sewaktu di atas track dan begitu juga dengan perasaan kecewa terlepas peluang untuk meraih pingat emas.

“Tetapi, saya boleh kata dengan penuh yakin bahawa tidak ada pihak yang akan menyalahkan anda (Azizulhasni); malah kami semua terharu atas kejayaan anda terutamanya keselamatan anda.

“Seluruh Malaysia dapat melihat kesungguhan Jijoe mengejar ke garisan penamat dan tidak putus ada untuk mendapatkan pingat perak buat negara. Itu adalah satu aksi yagn amat berharga,” katanya di laman Facebook rasminya pada Ahad.

Untuk rekod, Azizulhasni meraih Perak bagi acara keirin Sukan Olimpik Tokyo apabila tewas 0.763 saat kepada pelumba Great Britain yang juga juara dunia, Jason Kenny.

Artikel Berkaitan:

Kejayaan atlet kelahiran Terengganu itu memenangi perak kali ini sekali gus berjaya mengatasi pencapaiannya meraih gangsa pada Olimpik Rio 2016 lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!