Lori bertembung, dua pemandu berdepan detik cemas

Keadaan dua lori yang bertembung di lokasi.- Foto ihsan pembaca. Gambar kecil: Hanyan
Keadaan dua lori yang bertembung di lokasi.- Foto ihsan pembaca. Gambar kecil: Hanyan
A
A
A

KEMAMAN - Dua pemandu lori berdepan detik cemas apabila lori dipandu mereka bertembung di Kilometer (KM) 27 Jalan Mak Lagam-Cheneh di sini petang Sabtu.

Ketua Polis daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kejadian kira-kira jam 2.45 petang membabitkan lori jenis Nissan yang membawa muatan arang batu dan sebuah lagi lori jenis Hino tanpa muatan.

Bagaimanapun menurut beliau, kedua-dua mangsa berusia 64 dan 28 tahun itu dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Hanyan, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila lori yang membawa muatan arang batu dipercayai dalam perjalanan ke Cheneh menghala ke Mak Lagam manakala lori tanpa muatan dipandu lelaki berusia 28 tahun itu datang dari arah bertentangan.

"Setibanya di lokasi lori tanpa muatan terbabit dipercayai hilang kawalan.

"Difahamkan pemandu lori dengan muatan arang batu berusia 64 tahun itu gagal mengelak kerana jarak yang terlalu dekat mengakibatkan berlaku pertembungan di antara dua kenderaan berat itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Jelas Hanyan, kes disiasat di bawah Seksyen/ Rule 10 LN 166/59.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!