KPN zahir ucapan takziah

Acryl Sani
Acryl Sani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengucapkan takziah kepada keluarga dua anggota polis yang maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 24.4 Lebuh Raya Silk arah Kajang ke Putrajaya di sini pada Ahad.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, beliau mewakili warga PDRM sedih dengan kejadian yang menimpa dua anggota polis terbabit yang terkorban ketika menjalankan tugas dan tanggungjawab diamanahkan.

“Sememangnya tugas sebagai anggota penguatkuasaan undang-undang ini penuh dengan cabaran dan risiko yang tinggi namun tidak akan melunturkan semangat untuk terus memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua anggota polis maut ketika kejar mat rempit

Acryl Sani berkata, beliau juga mengingatkan jalan raya bukan tempat untuk berlumba dan melakukan aksi membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

“PDRM akan memastikan kebajikan keluarga anggota yang terkorban ini diberikan perhatian sebaiknya,” katanya.

Pada Ahad, media melaporkan dua anggota polis lelaki yang menjalankan operasi samseng jalanan maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 24.4 Lebuh Raya Silk arah Kajang ke Putrajaya.

Dalam kejadian 1.30 pagi itu berlaku apabila seorang anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berpangkat Sarjan menunggang motosikal dari arah Kajang ke Putrajaya.

Siasatan awal mendapati sebaik tiba di lokasi kejadian beliau bertembung dengan motosikal ditunggang anggota polis dari Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D4 IPD Kajang berpangkat Konstabel.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua mangsa adalah anggota dari IPD Kajang yang sedang melakukan tugas Operasi Samseng Jalanan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!