Berang disyaki ada hubungan sulit, suami belasah isteri
AMPANG - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki tergamak memukul isterinya hanya kerana wanita itu mengesyaki suaminya ada hubungan sulit dengan wanita lain di sebuah rumah di Taman Kencana di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian pada jam 8.15 pagi, mangsa berusia 40 tahun bertengkar dengan suaminya berusia 51 tahun di dapur kediaman mereka.
"Akibat pertengkaran berkenaan, suaminya menampar pipi wanita itu beberapa kali, memukul kepala, menolak serta memukul badan isterinya.
"Selepas kejadian, mangsa yang juga seorang juruteknik makmal terus keluar dari rumah dan membuat laporan polis," katanya melalui kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan lebam pada pipi, luka ibu jari kaki dan luka dalam mulut telah mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur.
"Pasangan berkenan sudah berkahwin enam tahun dan mempunyai dua orang anak perempuan berusia tiga tahun dan dua bulan.
"Lelaki tersebut sudah tiga tahun tidak bekerja. Pasangan ini tinggal bersama ibu dan bapa mangsa bersama kesemua anaknya," kata beliau.
"Suspek direman selama empat hari bermula Ahad hingga Rabu bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!