Kristil bangga terpilih sebagai pengadil badminton di Olimpik

Jurulatih kokurikulum sebuah institut perguruan guru awam di Melaka, Kristil Tan Ai Teng, 53, merupakan salah seorang umpire badminton pada temasya Sukan Olimpik Tokyo kali ini. - Foto Bernama
Jurulatih kokurikulum sebuah institut perguruan guru awam di Melaka, Kristil Tan Ai Teng, 53, merupakan salah seorang umpire badminton pada temasya Sukan Olimpik Tokyo kali ini. - Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN badminton negara mungkin telah berjaya mencuri perhatian ramai di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan aksi hebat diperagakan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) dan Lee Zii Jia (perseorangan lelaki).

Namun ramai yang tidak mengetahui, Kristil Tan Ai Teng, 53, dari Teluk Intan, Perak juga telah membuatkan Malaysia berbangga apabila terpilih seorang daripada pengadil dari seluruh dunia untuk mengendalikan perlawanan badminton di Olimpik Tokyo.

Kristil, yang mempunyai pengalaman selama tiga dekad, menyifatkan penampilan sulungnya di temasya Olimpik sebagai kenangan yang tidak dapat dilupakan dan menakjubkan.

Jurulatih kokurikulum di Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu di Melaka itu terlibat dalam 17 perlawanan di Tokyo, sembilan sebagai pengadil dan lapan sebagai hakim servis.

Di sebalik pengalaman luasnya, bekas guru sekolah itu tidak menafikan beliau berasa gementar menjadi sebahagian daripada sukan terbesar dunia itu.

“Kali terakhir saya terlibat dalam pertandingan, sebelum Olimpik Tokyo, iaitu awal tahun lepas dalam kejohanan membabitkan atlet para di Brazil. Jadi ia adalah agak mencabar bagi saya untuk berada di Tokyo. Saya hanya dapat berdoa dan bersyukur semuanya berjalan lancar,” katanya kepada Bernama apabila dihubungi baru-baru ini.

Ditanya mengenai perlawanan yang paling tidak dapat dilupakannya di Musashino Forest Sport Plaza, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Persatuan Badminton Melaka itu memilih perlawanan suku akhir beregu wanita antara pilihan pertama Yuki Fukushima-Sayaka Hirota dari Jepun dan pasangan China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan.

Menurut beliau kedua-dua pasangan itu mempamerkan aksi hebat, terutama pemain Jepun kerana seorang daripada pemain tetap beraksi mantap walaupun mengalami kecederaan semasa perlawanan itu.

Artikel Berkaitan:

“Pemain (yang cedera) tidak pernah berputus asa malah terus melakukan asakan. Tetapi akhirnya, pasangan China yang mara ke separuh akhir (selepas memenangi 18-21, 21-10, 21-10).

“Yang paling menyentuh hati apabila pasangan dari China itu menenangkan pemain Jepun, yang kelihatan sangat sedih selepas kekalahan mereka,” katanya.

Kristil juga kagum cara pihak penganjur menguruskan temasya sukan itu, terutama bagi memastikan kontak minimum antara pemain dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Malah, pihak penganjur katanya menyediakan pen papan skor dan penutup mikrofon, selain mempunyai peranti khas untuk pemain mengambil bulu tangkis dan bukannya diserahkan oleh hakim servis seperti yang lazim dilakukan sebelum pandemik Covid-19.

Ujar Kristil, peluang menjadi pengadil, telah mengajar beliau untuk lebih peka mengenai persekitarannya selain berpeluang menjalin hubungan yang baik dengan pengadil dari negara lain.

Bagaimanapun katanya, antara yang paling mencabar adalah untuk memastikan perlawanan yang adil bagi semua pemain ketika di gelanggang selain berjaya menyelesaikan sebarang pertikaian antara mereka. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!