Remaja lemas ketika selamatkan adik
PENAMPANG - Seorang remaja perempuan lemas ketika menyelamatkan adik bongsunya daripada hanyut dibawa arus dalam kejadian di Sungai Moyog, Kampung Kambau pada pagi Ahad.
Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa berusia 16 tahun dikatakan sedang mandi bersama tiga adiknya di sungai berhampiran rumah mereka.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan kejadian itu pada jam 11.14 pagi.
Menurut beliau, kejadian bermula apabila mangsa cuba menyelamatkan adik perempuannya yang hanyut dibawa arus.
"Namun setelah adiknya berjaya diselamatkan, mangsa dilihat telah tenggelam dan dikhuatiri lemas," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Mohd Haris berkata, adik mangsa telah pulang ke rumah dan memaklumkan kepada kedua ibu bapa mereka.
"Hasil bantuan penduduk kampung, mangsa ditemui tidak jauh dari lokasi kejadian dan disahkan meninggal dunia.
"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!