Kerajaan tidak teragak-agak tarik balik kemudahan jika langgar SOP
SHAH ALAM - Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menarik semula kemudahan yang telah diberikan kepada individu yang lengkap vaksinasi sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika berlakunya jangkitan di premis yang menikmati kemudahan-kemudahan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan segera mengambil langkah sewajarnya.
Katanya, ia termasuk melakukan penilaian semula risiko, menutup serta-merta premis atau kawasan yang terlibat selain mengeluarkan kompaun kepada pihak yang dikenal pasti melanggar SOP.
"Kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab bersama dalam usaha mengatasi pandemik Covid-19 ini.
"Sememangnya, kemudahan ini adalah bukti kepercayaan kerajaan bahawa rakyat yang sudah menerima vaksinasi lengkap boleh membuat pertimbangan risiko kendiri yang rasional dan bijaksana dalam menghadapi ancaman virus Covid-19 yang kini sudah berleluasa di dalam komuniti kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan kemudahan-kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap yang disiarkan secara langsung di rangkaian televisyen tempatan pada Ahad.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, keputusan untuk memberi kemudahan kepada individu yang lengkap vaksinasi itu dibuat dengan sangat berhati-hati dan selaras dengan data yang dikumpul di dalam negara tentang keberkesanan vaksinasi lengkap serta prinsip sains dan kesihatan awam yang diguna pakai di seluruh dunia.
Menurutnya, penting untuk dijelaskan bahawa seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah lengkap vaksinasinya apabila telah memenuhi kriteria-kriteria tertentu.
"Bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua.
"Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan," katanya.
Muhyiddin menegaskan, keputusan pemberian kemudahan itu juga semestinya akan memberi risiko peningkatan bilangan kes harian.
Namun, jelasnya, kerajaan juga tidak boleh memandang ringan manfaat setelah divaksin lengkap dan juga peranan kemudahan-kemudahan ini terhadap kesihatan mental dan fizikal rakyat serta aktiviti ekonomi negara.
"Penerima vaksin lengkap dapat mengukuhkan sistem pertahanan badan terhadap jangkitan virus Covid-19 dan melindungi diri daripada mendapat gejala jangkitan yang lebih teruk, serta mampu mengurangkan kadar kebolehjangkitan kes positif Covid-19 sebanyak 50 peratus.
"Dalam tempoh enam minggu kebelakangan ini, terdapat trend penurunan kadar kemasukan ke wad dan unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Sungai Buloh bagi warga emas berusia 60 tahun ke atas," katanya.
Beliau berkata, situasi itu menunjukkan pemberian vaksin kepada kumpulan warga emas di Fasa Dua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan sejak 19 April 2021 telah mula menghasilkan impak yang positif dalam konteks kesihatan.
Katanya, begitu juga bagi petugas-petugas KKM yang telah menerima vaksin Covid-19 sejak PICK dimulakan pada 24 Februari 2021.
"Seramai 246,242 petugas telah menerima vaksinasi lengkap dan didapati hanya 4,635 atau 1.88 peratus dijangkiti Covid-19. Daripada jumlah kes positif tersebut, 4,625 (99.78 peratus) hanya mengalami gejala ringan atau tidak bergejala.
"Hanya tujuh kes (0.15 peratus) adalah kategori 3 dan tiga kes (0.06 peratus) adalah kategori 4. Tiada dalam kalangan mereka yang mengalami jangkitan Covid-19 kategori 5 yang memerlukan bantuan pernafasan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!