255 individu dikompaun, 21 direman ingkar SOP
SHAH ALAM - Seramai 255 individu dikompaun kerana masih ingkar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19 pada Sabtu.
Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, 21 individu lagi turut direman atas kesalahan ingkar SOP ditetapkan manakala 25 premis diarah tutup serta-merta.
"Semalam, 7 Ogos 2021, Pasukan Task Force Operasi Pematuhan dengan kekuatan 18,510 anggota telah melaksanakan 84,688 pemeriksaan dan snap check Covid-19 bagi memantau serta menguatkuasakan pematuhan SOP di seluruh negara.
"Dalam operasi itu, pemeriksaan dijalankan terhadap 1,419 kilang, 17,051 premis perniagaan, 415 tapak pembinaan dan 189 asrama penempatan pekerja," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Mengenai kawalan sempadan negara, Hishamuddin berkata, sembilan orang pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan dan tiga buah kenderaan darat dirampas dalam Ops Benteng.
"Pada masa sama, sebanyak 909 sekatan jalan raya dijalankan di seluruh negara pada Sabtu," katanya.
Sementara itu, mengenai operasi pemeriksaan khas yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Hishammuddin berkata, 2,131 pemeriksaan khas telah dilaksanakan dan daripada jumlah itu, semua premis mematuhi SOP.
Katanya, berdasarkan pemantauan serta pemeriksaan anggota penguat kuasa KPDNHEP, didapati bekalan makanan adalah stabil dan mencukupi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!