Usaha pemulihan negara berjalan seperti dirancang: PM
SHAH ALAM - Usaha pemulihan negara akibat penularan pandemik Covid-19 sedang berjalan seperti yang dirancang di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selepas PPN dilancarkan, dalam masa dua bulan sahaja Wilayah Persekutuan (WP) Labuan bersama lapan buah negeri lagi telah berjaya beralih keluar daripada Fasa Satu PPN.
"Bermula 4 Ogos 2021, Perlis, Sarawak dan WP Labuan telah melangkah ke Fasa Tiga PPN manakala enam lagi negeri telah pun berada di Fasa Dua.
"Ini menunjukkan sebenarnya usaha pemulihan sedang berjalan seperti yang dirancang," katanya ketika mengumumkan kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap pada Ahad.
PPN yang dilancarkan 15 Jun lalu merupakan satu strategi peralihan keluar secara berfasa dengan teratur dan sistematik daripada kemelut pandemik Covid-19.
Pelan itu merupakan satu panduan yang dirangka secara berhati-hati berdasarkan data dan sains untuk membolehkan negara kembali kepada kehidupan harian biasa ataupun 'return to normalcy'.
Muhyiddin berkata, bagi negeri-negeri yang masih belum beralih fasa, usaha dan ikhtiar perlu ditingkatkan supaya dapat bergerak ke fasa seterusnya dengan selamat.
"Sekali lagi ingin saya ingatkan, jangan kita mudah merasa selesa. Sekarang ini kita sedang berhadapan dengan cabaran varian-varian baharu yang lebih ganas seperti varian Delta.
"Kadar penularan jangkitan varian-varian ini begitu cepat, jauh lebih pantas daripada varian-varian awal setahun lalu.
"Lihat sahajalah kes-kes yang dilaporkan di media dan yang dikongsikan di dalam grup WhatsApp keluarga, rakan-rakan sekolah, di mana ada dalam kalangan ahli keluarga atau sahabat kita yang dijangkiti. Bilangan kes harian sekarang ini sudah menjangkaui 20,000 kes dan bilangan kes aktif adalah lebih 200,000 kes," katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, jika diperhalusi, bilangan kes positif harian bagi kategori 1 dan 2 masih di paras 96 hingga 98 peratus daripada keseluruhan kes.
Muhyiddin menambah, antara strategi kerajaan dalam menguruskan pandemik berkenaan adalah memastikan sebanyak mungkin populasi di Malaysia divaksinasi.
Tegas beliau, lebih ramai yang menerima suntikan vaksinasi lengkap, lebih ramai yang dilindungi daripada jangkitan yang lebih teruk, beban kepada sistem kesihatan awam akan berkurang dan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial yang dapat dibuka secara berperingkat.
Katanya, ia sekali gus dapat memastikan negara dapat keluar daripada pandemik itu dengan lebih teratur dan selamat.
"Bagi memastikan suntikan vaksinasi diberikan secepat dan sebanyak mungkin, terutamanya dengan kehadiran varian-varian baharu yang lebih ganas, kerajaan telah menggerakkan seluruh jentera kerajaan dan bekerjasama dengan pihak swasta serta badan bukan kerajaan dalam satu pendekatan 'whole of nation'.
"Analogi mudahnya ialah apabila seseorang itu menerima dos suntikan vaksinasi yang lengkap, seseorang mempersiapkan tubuhnya dengan 'askar' atau antibodi bagi melawan 'musuh' iaitu kuman atau penyakit.
"Tetapi, jika 'musuh' datang menyerang, baru kita mahu melatih 'askar' berperang, ia sudah agak terlambat kerana tubuh mungkin terpaksa berdepan dengan kesan yang teruk akibat jangkitan itu.
"Oleh itu, vaksinasi memastikan penghasilan antibodi badan lebih awal bagi melawan penyakit berbahaya dan di dalam hal ini virus Covid-19," kata beliau.
Katanya lagi, berkat kerjasama semua rakyat, usaha kerajaan untuk meningkatkan kadar vaksinasi atau 'ramping-up the vaccination rate' sudah menunjukkan pencapaian yang amat membanggakan.
"Terbukti rakyat menyahut panggilan dan menyambut baik seruan kerajaan ini untuk menerima vaksinasi.
"Dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega di bandar-bandar, ke PPV mobile di desa dan perkampungan orang asli, di PPV pandu lalu untuk OKU, dan di PPV kecil kerjasama dengan klinik swasta, berjuta-juta rakyat Malaysia telah keluar menerima suntikan vaksinasi Covid-19.
"Ada juga NGO yang membantu memberi suntikan vaksinasi untuk warga emas yang uzur di rumah mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!