Semua ahli politik diminta beri kerjasama pulihkan negara
SHAH ALAM - Pemuda Pas meminta semua ahli politik untuk berehat sementara dengan memberi tumpuan dan kerjasama kepada kerajaan dalam usaha memulihkan negara.
Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, semua pihak dituntut untuk bekerjasama dalam merealisasikan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Jangan jadikan terma ‘political ceasefire’ sebagai hanya omong kosong untuk mengaburi mata rakyat tetapi melakukan yang sebaliknya.
“Ingat! Rakyat sedang memerhati,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di atas kelonggaran yang diberikan kepada rakyat yang lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.
“Pengumuman tadi pasti telah melegakan ramai termasuklah para peniaga dan juga keluarga di kampung.
“Alhamdulillah, PPN kita juga berada di landasan yang tepat untuk membawa kita semua keluar daripada kesan pandemik Covid-19 ini,” ujarnya.
Jelasnya, kelonggaran yang diberikan perlu dinikmati sebaiknya dan terus mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta dijadikan norma baharu kehidupan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!