Cabaran #WartawanSinarTikTok tarik 8 juta tontonan di TikTok
SHAH ALAM - Cabaran#WartawanSinarTikTokanjuran Sinar Harian bersama aplikasi kandungan video, TikTok berjaya menarik lebih lapan 8 juta tontonan di platform tersebut hanya dalam tempoh sembilan hari sejak dilancarkan.
Ketua Jabatan Pemasaran Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, sambutan menggalakkan menunjukkan TikTok sudah mula menjadi antara platform pilihan utama masyarakat untuk mendapatkan berita utama dan terkini.
Menurutnya, jumlah penyertaan juga dilihat memberangsangkan apabila setakat Ahad, seramai lebih 250 peserta telah berkongsi kandungan berita yang unik dan menarik dalam usaha mereka memenangi cabaran yang bermula 31 Julai hingga 31 Ogos ini.
“TikTok kini bukan sahaja sebagai ruang hiburan malah merupakan tempat untuk mereka membaca berita yang terkini dengan pantas dan cepat,” katanya pada Ahad.
Nik Justin berkata, cabaran #WartawanSinarTikTok itu merupakan projek pertama yang dilaksanakan dalam kerjasama strategik yang dijalinkan antara Sinar Harian dan TikTok.
Beliau berkata, antara objektif utama jalinan kerjasama strategik itu ialah untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap platform tersebut yang dilihat memiliki potensi menjadi sebuah medium yang mampu menyajikan kandungan berita terkini dan pendidikan dengan pantas.
Menurutnya, usaha itu juga selari dengan perkembangan platform berkenaan yang mula menjadi sumber rujukan utama untuk masyarakat mendapatkan laporan berita bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.
“Ramai masih tidak sedar bahawa medium ini sudah menjadi rujukan berita utama kerana kepantasannya.
“Kalau kita tengok di laman ‘discovery’ TikTok pun telah banyak cabaran dan pendidikan serta pelbagai lagi perkara lain yang bermanfaat. Jadi usaha untuk mengubah persepsi terhadap platform ini dilihat sudah pun dimulakan,” katanya pada Ahad.
Tambah Nik Justin, sebagai rakan strategik, TikTok akan memberikan notifikasi kepada semua pemilik akaun yang mengikuti Sinar Harian di platform tersebut mengenai maklumat lanjut mengenai cabaran #WartawanSinarTikTok.
Mereka yang ingin menyertai cabaran ini hanya perlu berkongsi cara penyampaian berita yang paling unik dan menarik di TikTok serta hashtag #WartawanSinarTikTok #SinarHarian dan tag @sinarharianonline.
Jelasnya, selain isu nasional, peserta juga digalakkan melaporkan berita mengenai peristiwa dan kejadian yang berlaku di komuniti mereka.
Menurutnya, selain hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM2,250, tiga pemenang bertuah yang akan diumumkan pada September ini juga akan ditawarkan kontrak sebagai wartawan sambilan Sinar Harian.
“Kriteria untuk pemilihan tiga terbaik ini akan ditentukan melalui penghakiman panel juri daripada Sinar Harian dan wakil daripada TikTok dan serta di samping kaedah mengira jumlah tanda suka terbanyak untuk video yang dihantar,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!