Elak simpan, segera melabur
Tidak ramai yang sedar bahawa simpanan dan pelaburan sebenarnya adalah dua perkara berbeza dan perbezaannya sebenarnya amat besar kerana ia menentukan sama ada wang bekerja dan terus berkembang atau tidur sahaja tanpa pulangan.
Simpanan merujuk kepada duit yang disimpan di dalam laci, di bawah bantal, dalam peti besi, tabung atau dalam akaun bank. Tujuan menyimpan lebih kepada kegunaan segera atau untuk tujuan keselamatan.Wang yang disimpan tidak menjana pulangan dan ia dianggap tidur kerana dari hari ke hari, bulan ke bulan dan tahun ke tahun, jumlah wang berkenaan tidak bertambah kecuali kita menambahnya.
Sebagai contoh, wang yang disimpan dalam akaun bank, jumlahnya hanya bertambah setiap kali gaji masuk, tetapi semakin berkurang apabila dikeluarkan. Sekiranya tiada gaji, maka wang dalam akaun simpanan tidak akan bertambah dengan sendirinya.
Begitu juga wang yang disimpan di dalam tabung, jika ia tidak ditambah setiap hari, jumlahnya kekal sama. Tetapi bagaimana pula jika wang dalam tabung yang sudah penuh, dilaburkan pula contohnya ke dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Berbeza berbanding simpanan, pelaburan memberi peluang kepada pelabur untuk meraih keuntungan atau pulangan daripada wang yang dilaburkan.
Untuk ASB, setiap tahun menjelang Disember, pelabur akan ternanti-nanti pengumuman mengenai dividen yang bakal diterima. Katakan pelabur sudah melabur RM1,000 selama satu tahun dalam ASB dan dividen yang diumumkan ialah 4 peratus, jadi pelabur akan menerima keuntungan sebanyak RM40.
Adakah kita akan menerima dividen ini jika wang dibiarkan dalam tabung atau akaun simpanan? Jawapannya sudah pasti tidak dan ini merupakan satu kerugian kerana wang tidak berpeluang menjana pendapatan sedangkan ia berpeluang untuk melakukannya jika dilaburkan.
Jadi apabila sudah bekerjaya kelak, elakkan daripada membiarkan wang dalam akaun simpanan, sebaliknya segera laburkan di awal bulan untuk memastikannya terus bekerja menerusi pulangan yang diterima.
Namun sebelum melabur, kenalilah faktor risiko dan pulangan dan elakkan daripada sewenang-wenangnya melabur dalam instrumen berisiko tinggi seperti pasaran saham, bitcoin atau Forex tanpa ilmu yang cukup. Ini kerana pelaburan berisiko tinggi boleh menyebabkan kerugian jika tidak diuruskan dengan bijak.
Jangan kerana mengejar keuntungan, wang bukan sahaja tidak bertambah, tetapi terus hilang dari genggaman. Sebaiknya laburkan dengan segera ia boleh terus bertambah dari tahun ke tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!