Bangga dengan semangat patriotik netizen Malaysia
MERAK Jalanan bangga dengan kejayaan atlet-atlet Malaysia yang berjaya menghadiahkan pingat di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Tahniah kepada jaguh trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang memenangi pingat perak menerusi acara keirin lelaki yang berlangsung di Velodrom Izu Tokyo pada Ahad.
Tampil sebagai satu-satunya wakil Asia, Azizuhasni terpaksa akur dengan kepantasan pelumba Great Britain, Jason Kenny yang meraih emas.
Tahniah juga kepada pasangan beregu badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang merangkul pingat gangsa dalam acara beregu lelaki di Sukan Olimpik 2002, pada 31 Julai lalu.
Gangsa yang menjadi pingat pertama buat kontinjen negara pada temasya kali ini diraih selepas mereka menumbangkan gandingan dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.Daripada pemerhatian Merak Jalanan, netizen Malaysia berlapang dada dengan kemampuan atlet Malaysia walaupun hakikatnya semuanya mengharapkan pingat emas.
Kata-kata semangat kepada atlet Malaysia di media sosial dapat meningkatkan moral mereka untuk berusaha lebih gigih pada masa depan.
Kita tidak mahu jadi seperti netizen China yang mengecam pemain badminton mereka iaitu Chen Long selepas gagal menghadiahkan pingat emas dalam acara perseorangan badminton lelaki.
Walaupun memenangi pingat perak, Chen Long dikecam dan ada yang menganggapnya sebagai tidak berguna.
Malah ada juga yang menyamakan pertarungan Chen Long dengan Viktor Axelsen seperti seorang dewasa yang berlawan dengan anak kecil, di mana Chen Long dianggap sememangnya tidak mampu melawan semula.
Dalam menjadi rakyat yang patriotik dan matang, netizen Malaysia juga perlu berhenti menjadi siber buli dan menyerang atlet negara lain kerana ia merendahkan imej negara kita dalam persaingan di peringkat dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!