Gesa PBB segera bertindak konflik India, Pakistan: Mapim
KUALA LUMPUR - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa Malaysia memainkan peranan mengambil inisiatif agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bertindak segera mengelakkan satu lagi rantau dunia ini menjadi medan perang.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia perlu segera dilakukan bagi meredakan konflik yang berlaku antara India dan Pakistan ketika ini.
Menurutnya, konflik yang semakin tegang antara dua negara yang mempunyai senjata nuklear itu, sangat merbahaya untuk rantau Asia Selatan malah seluruh dunia.
“Kami berpendirian India perlu berhenti menggunakan pendekatan ketenteraan untuk terus menguasai Kashmir. Hak warga Kashmir perlu dijamin dan nasib mereka ditentukan oleh mereka sendiri.
“Tentera India perlu keluar dari Kashmir dan tentera pengaman PBB perlu dihantar untuk melaksanakan proses pengumpulan suara warga Kashmir menentukan kemahuan mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Kelmarin, ketegangan antara dua negara itu kembali memuncak berikutan dua jet pejuang India ditembak oleh tentera Pakistan.
Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata, sejarah yang begitu lama sejak genosid 1947 oleh tentera India yang mengakibatkan ratusan ribu warga Kashmir terbunuh dan bahagian Jammu dan Kashmir dijajah oleh India, telah mencetus pertikaian dan ketegangan sehingga hari ini.
“Warga Kashmir di wilayah yang dikuasai India telah mengalami kesengsaraan bertahun-tahun lamanya sehingga resolusi PBB pernah dikeluarkan untuk memberi peluang pengumpulan suara dilaksanakan bagi menentukan nasib Kashmir sama ada mahu merdeka, ditadbir oleh India atau menjadi sebahagian dari Pakistan.
“Kes penangkapan, pembunuhan, perkosaan, perampasan harta dan serangan keatas ribuan warga Kashmir oleh pihak tentera India telah mencetuskan kelompok yang melancarkan perjuangan pembebasan Kashmir,” katanya.
Selain itu, Mohd Azmi berkata, insiden serangan bom berani mati di Pulwama di wilayah jajahan India yang mengakibatkan kematian 42 anggota tentera terbunuh, menyebabkan India menuding Pakistan terbabit, walaupun Pakistan menafikan dengan keras.
“Ditambah Perdana Menteri India Narendra Modi membiarkan kumpulan fanatik hindu RSS terus melakukan serangan keatas kaum Muslimin di India, insiden terbaru telah meningkatkan lagi ketegangan di Kashmir.
“Seruan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan untuk mengelak peperangan melalui dialog dan siasatan terhadap kes terbaru nampaknya tidak dipeduli oleh India,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!