Terima kasih beri persembahan terbaik

Terengganu FC meneruskan momentum positif ketika melayan kunjungan Sri Pahang pada Sabtu. - Foto FB Sri Pahang FC
Terengganu FC meneruskan momentum positif ketika melayan kunjungan Sri Pahang pada Sabtu. - Foto FB Sri Pahang FC
A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain merakamkan penghargaan kepada anak buahnya yang berjuang bermati-matian bagi meraih kemenangan dalam perlawanan dengan Sri Pahang FC.

Menurut Nafuzi, walaupun pemain dibelenggu masalah kepenatan kerana jadual perlawanan Liga Super yang padat, mereka tetap mempamerkan prestasi cemerlang seperti yang diharapkan.

"Terima kasih untuk pemain yang telah memberi persembahan terbaik dan menjalankan tugas seperti yang dirancang.

"Kami tak nafikan, memang pemain keletihan kerana mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh lebih kurang seminggu, namun kami dapat lakukan jaringan awal dan tidak bolos...itu yang penting," katanya selepas perlawanan menentang Sri Pahang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Dalam perlawanan itu, TFC berjaya menewaskan Sri Pahang FC 2-0 sekali gus mengekalkan kedudukan sebagai penghuni tangga kedua liga selepas Johor Darul Ta'azim (JDT).

Sementara itu, pengendali Sri Pahang FC Dollah Salleh berkata, anak buahnya bermain di bawah kemampuan sebenar menyebabkan mereka dihukum dengan dua gol mudah oleh TFC.

Beliau mengakui agak kecewa kerana gagal mencapai misi iaitu membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata bagi mengelak skuad Tok Gajah jatuh di kedudukan yang bahaya dalam carta Liga Super.

"Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa. Cuma kalau kami terus kekal dengan permainan seperti ini, kami tak akan ke mana-mana.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi saya percaya pemain akan bangkit semula pada perlawanan akan datang sekali gus menghadiahkan kemenangan buat pasukan," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!