Miliki syarikat minyak urut bermodal RM210

Produk-produk Minyak Urut MMG.
Produk-produk Minyak Urut MMG.
A
A
A

KEJAYAAN usahawan muda, Kartika Haplan dalam perniagaan minyak urut berjenama MMG telah mengubah persepsi negatif masyarakat yang meragui potensi bisnes tersebut dalam pasaran tempatan.

Pada awalnya, Kartika, 32, yang merupakan anak kelahiran Sabah itu, tidak menyangka perniagaan produk minyak urut jenama MMG yang diceburinya secara tidak sengaja, kini dapat menjana pendapatan sehingga berjaya memiliki syarikat sendiri.

Kartika berkata, syarikatnya, Hateeka Global Sdn Bhd (Hateeka Global) mensasarkan jualan sebanyak RM1.5 juta pada tahun ini dan merancang untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada orang ramai.

“Pada tahun ini, apabila syarikat kami berkembang, saya merasakan tanggungjawab kami menjadi semakin besar sebab ia bukannya mudah untuk menguruskan operasi syarikat, kumpulan dan staf.

“Sebelum ini, ada orang yang memperkecilkan bisnes ini. Saya sendiri tidak menyangka dengan menjual produk minyak urut ini saja, saya berjaya mendirikan syarikat, mempunyai staf dan sebagainya.

“Walaupun syarikat kami masih kecil, tetapi saya sentiasa mempunyai impian besar. Kalau boleh pada tahun ini saya mahu membuka peluang pekerjaan bagi menambah bilangan staf syarikat kami,” katanya kepada wartawan Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, dengan berbekalkan modal RM210, beliau mula melibatkan diri dalam perniagaan berkenaan pada tahun 2017.

“Idea itu memang langsung tiada. Ia bermula tanpa sengaja tetapi selepas saya mencubanya sendiri dan keluarga memberi maklum balas yang positif.

Artikel Berkaitan:

“Mereka suka dan selesa dengan produk itu. Saya mengambil keputusan untuk bermula, jika produk ini bermanfaat, ia mesti memberikan perkara yang sama kepada orang.

“Saya membeli 10 botol masa itu pada Februari 2017, dengan bermodalkan RM210 dan bermulanya perjalanan saya dengan produk minyak urut MMG ini,” ujarnya.

Kartika Haplan bersama Pengasas Minyak Urut Moden MMG, Lily Wahab.
Kartika Haplan bersama Pengasas Minyak Urut Moden MMG, Lily Wahab.

Sasar jualan RM1.5 juta

Kartika berkata, produk minyak urut MMG boleh didapati melalui media sosial seperti Instagram dan Facebook serta platform e-dagang iaitu Shopee.

Jelasnya, strategi pihaknya adalah memfokuskan pada penjualan dalam pasaran Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

“Sebagai ‘leader’, tahun ini kita mensasarkan jualan mencecah sebanyak RM1.5 juta. Alhamdulillah, setakat ini kita sudah mencapai dalam RM800,000. Kita masih ada baki lagi untuk mencapai sasaran itu dan secara agresif kita akan sebarkan manfaat produk minyak urut moden ini, khususnya dalam pasaran Borneo,” jelasnya.

Tambahnya, antara faktor lain adalah kerana kebanyakan kumpulan di bawahnya adalah dari kawasan Sabah dan Sarawak.

“Macam kami sendiri di Sabah, di bawah saya ada enam orang ‘leader’ dan 30 orang stokis. Kami ada seramai 400 ejen dropship kalau digabungkan semua,” tambahnya.

Sesi perjumpaan ‘team’ Sabah bersama Pengasas Minyak Urut Moden MMG, Lily Wahab.
Sesi perjumpaan ‘team’ Sabah bersama Pengasas Minyak Urut Moden MMG, Lily Wahab.

Pelbagai pilihan

Dalam pada itu, Kartika berkata, bahawa produk minyak urut MMG mempunyai keunikan yang tersendiri termasuk mempunyai tekstur losyen, produk berasaskan air dan dijual dalam saiz poket.

“Ia adalah produk yang ‘water-based’, apabila kita menggunakannya, ia tidak melekit dan cepat meresap,” katanya.

Selain itu, ujarnya, keunikan tersebut menjadikan produk itu mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan, malah produk tersebut dijual kepada tiga wangian iaitu lavender, epal hijau dan timun bidara.

“Produk minyak urut ini juga wangi. Pada tahun 2017, ada satu saja pilihan produk iaitu wangian lavender tetapi selepas lima tahun di pasaran, kita ada pelbagai pilihan wangian antaranya epal hijau, timun bidara dan lain-lain.

“Menariknya, ia adalah bersaiz poket untuk memudahkan dibawa ke mana-mana,” ujarnya.

Menurut Kartika, produk minyak urut MMG sesuai digunakan semua orang dari pelbagai peringkat.Katanya, minyak urut MMG wangian lavender dilihat sebagai barangan terlaris yang mendapat permintaan ramai, manakala wangian epal hijau pula menjadi pilihan bagi golongan lelaki.

“Golongan lelaki lebih memilih kepada produk wangian epal hijau. Sebabnya ia mengandungi ekstrak minyak kayu putih dan juga kristal menthol, jadi tahap dingin minyak itu lebih kuat berbanding produk lain.

“Ia sesuai untuk golongan lelaki yang aktif. Dari segi umur pula, semua orang boleh memakainya.

“Daripada kanak-kanak sehingga warga emas. Cuma untuk kanak-kanak itu kita sarankan untuk menggunakan minyak itu dengan kadar minimum berbanding orang dewasa,” katanya.

Jelas Kartika, pengalaman selama lima tahun dalam perniagaan minyak urut MMG memberikan ilmu sekali gus mengajarnya memperkembangkan ke tahap lebih tinggi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!