Kastam batal lesen ejen penghantaran buat pengisytiharan palsu
KUALA LUMPUR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hari ini memberi amaran akan menarik balik serta-merta lesen ejen penghantaran bagi import dan eksport jubin, tayar, sampah plastik, rokok dan arak yang didapati membuat pengisytiharan palsu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T. Subromaniam berkata dalam tempoh dua minggu lepas, pihaknya telah membatalkan lesen lima ejen atas kesalahan tersebut melibatkan empat ejen penghantaran bagi sampah plastik dan satu ejen penghantaran rokok.
“Sebelum ini JKDM hanya menggantung lesen selama enam bulan.
“Jika mereka tidak bersalah, kami akan memulangkan lesen mereka tetapi kali ini kami bertindak tegas dengan menarik lesen berkenaan serta-merta tanpa sebarang kompromi,” katanya pada sidang media prestasi kastam dalam membanteras penyeludupan rokok dan minuman keras, di sini.
Menurutnya langkah pembatalan lesen itu diambil bagi memastikan tiada ejen penghantaran terlibat dalam aktiviti penyeludupan barang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!