Bulan Falak Malaysia bermula hari ini sehingga 7 September
PUTRAJAYA - Program Bulan Falak Malaysia Tahun 2021 dilancarkan bermula pada Isnin sehingga 7 September depan bagi memartabatkan ilmu falak melalui program bersepadu di peringkat kebangsaan dan negeri.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan program bulan falak itu diadakan secara dalam talian melalui media sosial rasmi Jakim, Jabatan Mufti Negeri, balai cerap atau lokasi cerapan rasmi Malaysia, masjid-masjid terpilih seluruh Malaysia dan Institut Latihan Islam Malaysia.
Menurutnya, program dengan kerjasama Jabatan Mufti negeri dan Agensi Apadilangit (Universe Awareness Malaysia) itu diadakan sempena sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1443H/2021M, dan akan dilancarkan secara maya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melalui laman Facebook rasmi Jakim pada Isnin.
Abdul Aziz berkata, program berkenaan diharap dapat memberi pendidikan dan pemahaman mengenai ilmu falak kepada masyarakat serta dapat mengaplikasikannya dalam ibadah secara bersepadu.
“Program ini diharap dapat memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kaedah cerapan, penetapan awal bulan dan proses pengisytiharan hilal Ramadan, Syawal dan Zulhijjah di Malaysia secara khusus dan nusantara secara amnya,” katanya.
Beliau berkata, negara anggota Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) yang mempunyai bidang kerjasama khususnya dalam ilmu falak akan turut terlibat dalam program berkenaan.
"Sempena sambutan Bulan Falak Malaysia Tahun 2021 itu, penggunaan Kriteria Imkanur Rukyah (KIR) Baharu MABIMS dalam penyediaan Takwim Hijrah bermula Muharam 1443H akan dilancarkan," ujarnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!