Tiga lokasi pelancongan di Pahang dibuka hujung bulan ini
KUANTAN - Kawasan pelancongan Bukit Fraser, Pulau Tioman dan Janda baik akan dibuka kepada orang ramai penghujung bulan ini.
Keputusan itu dibuat selepas penduduk dan penggiat penggiat pelancongan di kawasan terbabit sudah mencapai 80 peratus imuniti kelompok.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, bagaimanapun pihaknya sedang merangka kaedah sesuai bagi mengawal kemasukan jumlah pelancongan dan mengelak berlaku jangkitan Covid-19.
"Kalau boleh kita mahu sektor pelancongan dibuka secepat mungkin sebab sudah ada tiga lokasi pelancongan dalam masa terdekat akan capai imuniti kelompok iaitu di Bukit Fraser, Pulau Tioman dan Janda Baik.
"Bagaimanapun, kita memerlukan satu garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk memastikan pelancongan di Pahang betul-betul bersedia seperti melakukan sekatan jalan raya (SJR) di setiap pintu masuk kawasan pelancongan terlibat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Latihan Reskilling Untuk Industri Pelancongan anjuran Pejabat Tourism Pahang dan Tenaga Nasional Berhad (TNB)- Institusi Latihan Sultan Ahmad Shah (ILSAS) di pejabat Tohaurism Pahang pada Isnin.
Pelancaran secara maya itu turut diserati Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim dan Ketua ( Strategi Digital dan Innovasi TNB-ILSAS, Dr Zaliman Mohd Yusoff.
Mengulas lanjut mengenai program latihan Reskilling, Mohd Sharkar berkata, inisiatif itu dapat membantu penggiat industri pelancongan sepanjang tempoh yang dikatakan sebagai 'fasa survival' apabila semua aktiviti pelancongan dihentikan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jelasnya, program itu membantu syarikat yang terlibat dengan pelancongan untuk meningkat promosi produk mereka dengan kos lebih efektif.
"Kita yakin program ini membantu mempercepatkan pembangunan semula industri pelancongan di Pahang dengan menjimatkan kos pengeluaran bahan promosi digital yang berkualiti.
"Selepas ini, kita harap syarikat pelancongan dapat memperbanyakkan promosi secara talian bagi menarik lebih ramai pelancong ke Pahang," ujarnya.
Beliau menambah, bagi tujuan itu, TNB-ILSAS memperuntukkan sebanyak RM500,00 melatih kemahiran baharu dalam penyuntingan video digital menggunakan rakaman dron dan teknologi realiti maya (VR) kepada 100 orang pekerja pelancongan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!