Polis tahan tujuh suspek, rampas 160 kg dadah

PDRM
PDRM
A
A
A

KANGAR - Polis melumpuhkan rangkaian sindiket dadah di negeri ini berikutan penahanan tujuh suspek lelaki warga tempatan termasuk seorang peniaga kedai makan dalam tujuh siri serbuan bermula 4 Ogos hingga 6 Ogos di sekitar Padang Besar dan Kangar.

Dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis ganja seberat 161.76 kilogram (kg) dan 800 gram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM603,920.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, dalam serbuan pertama pukul 10 pagi pada 4 Ogos, polis menahan seorang suspek di sebuah rumah di Kangar dan merampas sebanyak 161.76 kg ganja yang dianggarkan bernilai RM404,400.

“Susulan maklumat daripada serbuan tersebut membawa kepada serbuan kedua pada pukul 12.30 tengah hari di sebuah taman perumahan di Kangar dan polis menemui 800 gram dadah jenis Syabu dianggarkan bernilai RM80,000,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Beliau berkata, pada sebelah malam kira-kira pukul 11.30 malam, Jabatan Siasatan Jenayah Perlis berjaya menahan tiga suspek kumpulan sindiket tersebut, namun tiada sebarang rampasan dadah dibuat.

“Dalam serbuan keempat pada pada 1.20 tengah hari keesokkannya (5 Ogos), polis membuat serbuan di sebuah rumah di Kangar dan merampas dadah jenis syabu seberat 3.32 kg.

"Hasil daripada rampasan dan siasatan dibuat, polis telah memberkas seorang lagi suspek di daerah Padang Besar tetapi tiada rampasan dibuat,” katanya.

Menurut Surina, dalam operasi yang turut disertai Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman itu, dua lagi suspek termasuk dalang utama sindiket yang bekerja sebagai pemilik kedai makan turut diberkas di daerah Padang Besar antara pukul 12 tengah hari dan 1.40 tengah hari, pada 6 Ogos.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kesemua dadah yang dirampas dipercayai diperoleh dari negara jiran dan negeri ini digunakan sebagai transit sebelum dadah berkenaan diedarkan ke pasaran selatan tanah air.

“Kita percaya kegiatan ini telah berjalan sejak Julai 2021 selain mereka menggunakan jalan darat dan kenderaan milik persendirian bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Selain itu, sindiket menggunakan rumah sewa sebagai tempat penyimpanan.

“Ketua sindiket (dalang utama) menggunakan medium panggilan telefon untuk merekrut anak tempatan sebagai pengedar,” katanya sambil menambah kemungkinan beberapa suspek akan ditahan selepas ini.

Surina berkata, kesemua suspek yang ditahan berumur antara 27 hingga 51 tahun dan saringan ujian air kencing mendapati kesemuanya positif dadah jenis syabu (methamphetamine) selain turut mempunyai kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Sebanyak 10 motosikal dan tiga kereta turut disita bernilai kira-kira RM389,000 yang digunakan suspek untuk menghantar dan membawa bekalan ke serata negeri.

Kesemua suspek kini direman tujuh hari sehingga 13 Ogos depan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!