Bekas Ahli Majlis Sabak Bernam nafi rasuah
ekas Ahli Majlis Sabak Bernam
SHAH ALAM - Seorang bekas Ahli Majlis Sabak Bernam (MDSB) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas 11 pertuduhan rasuah membabitkan lebih RM20,000 dan salah guna kuasa.
Mohamad Fauzi Ahmad bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ke-10, dia yang juga bekas Ketua Cabang PKR Sg Besar didakwa memberi suapan bernilai RM24,000 melalui mesin deposit tunai (CDM) ke akaun CIMB Bank dan persendirian milik empat individu.
Perbuatan itu didakwa sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan berhubung hal ehwal principalnya iaitu mengundi Ligat Bina Enterprise sebagai penganjur Expo Raya 2016 dalam mesyuarat jawatankuasa Kawalan Perniagaan dan Kesihatan MDSB.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya antara April 2016 hingga Mac 2017.
Mohamad Fauzi,44, turut mengaku tidak bersalah menyalahguna kuasa sebagai Ahli MDSB bagi mendapatkan suapan apabila mengambil bahagian dalam mesyuarat Jawatankuasa Kawalan Perniagaan dan Kesihatan MDSB yang memutuskan memilih Ligat Bina Enterprise sebagai penganjur ekspo yang sama.
Kesalahan itu dilakukannya di MDSB pada 13 Mei 2016.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Suffian Jaafar mengikut Seksyen 17(b), Akta SPRM 2009 dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta sama.
Jika sabit kesalahan, dia bakal berdepan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.
Hakim Rozilah Salleh membenarkan jaminan RM60,000 dengan seorang penjamin dan memerintah passport ditahan di mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 27 Mac sebagai sebutan semula kes.
SPRM dijangka akan mendakwa Mohamad Fauzi di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak bulan hadapan berhubung kes sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!