Kemuka ujian calitan tiga hari sebelum sidang DUN Sabah

KADZIM
KADZIM
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan petugas yang terlibat dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah perlu mengemukakan ujian calitan Covid-19 tiga hari sebelum persidangan.

Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya berkata, selain ujian calitan, pihaknya juga menetapkan individu lengkap dua dos vaksin sebagai prosedur operasi standard (SOP) utama bagi pelaksanaan sidang DUN selama tiga hari bermula 24 Ogos ini.

"Semua Ahli Yang Berhormat serta petugas yang terlibat dalam persidangan kali ini wajib mengemukakan keputusan ujian saringan Covid-19 kepada pihak kami tiga hari sebelum bersidang.

"Mereka diwajibkan lengkap dua dos vaksin Covid-19," katanya kepada pemberita selepas mengikuti Majlis Perasmian Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan DUN Seluruh Malaysia secara maya pada Isnin.

Mengulas lanjut berhubung persidangan itu Kadzim memaklumkan, ia adalah persidangan tahunan yang bertujuan memperbaiki inisiatif, prosedur di Parlimen dan juga negeri-negeri.

"Persidangan disertai Speaker DUN, Parlimen serta Dewan Negara dan Dewan Rakyat iaitu seramai 16 orang dan ini adalah program tahunan namun disebabkan pandemik Covid-19, ia tidak dapat diadakan tahun lalu dan dianjakkan tahun ini.

"Tujuan persidangan ini adalah untuk membolehkan Speaker Parlimen dan DUN bertukar pendapat untuk memperbaiki, inisiatif, prosedur di Parlimen dan juga di negeri.

Tambahnya lagi, antara isu yang dibawa dari Sabah ialah usaha bagi meningkatkan keupayaan capaian jalur lebar di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana keupayaan capaian jalur lebar agak kurang memuaskan dan ia tidak memungkinkan persidangan DUN dijalankan secara hibrid," katanya.

Hadir sama mengikuti persidangan itu ialah Timbalan-Timbalan Speaker, Datuk Ahmad Abdul Rahman dan Datuk George Anthony Ginibun serta Setiausaha DUN Sabah yang baharu, Rafidah Maqbool Rahman.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!