Harga lebih murah di My Best Buy
KUALA TERENGGANU – Orang ramai berpeluang mendapatkan pelbagai produk pertanian dan hasil laut terpilih dengan potongan harga antara 5 peratus hingga 20 peratus lebih murah dari nilai pasaran melalui program My Best Buy (MBB).
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu, Fauzi Mohamed, program itu akan diadakan pada setiap bulan di lokasi-lokasi terpilih bagi memberi peluang pengguna mendapatkan barang keperluan dengan harga berpatutan.
“Selepas ini, kita akan adakan MBB di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu pada 25 dan 26 Mac nanti,” katanya pada Program Jualan MBB di My Farm Outlet, Chendering hari ini yang disempurnakan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Zulkifli Ali.
Program selama dua hari bermula 27 Februari itu melibatkan 30 peniaga dari beberapa daerah seperti Kuala Terengganu, Marang dan Dungun yang menjual hasil laut, ayam, sayuran, buah-buahan makanan dan produk industri kecil sederhana.
Menurut Fauzi, sambutan orang ramai terhadap MBB begitu menggalakkan apabila berjaya merekodkan jualan sebanyak RM21,000 pada hari pertama ia diadakan semalam.
“Saya ada cakap dengan dua atau tiga peniaga dan mereka cakap program ini beri hasil lumayan kepada mereka.
“Ia bertepatan dengan objektif MBB menyediakan platform yang menawarkan produk berasaskan pertanian dijual secara terus kepada pengguna dengan harga berpatutan,” katanya.
Sejak dilaksanakan bermula tahun 2017, Fama Terengganu berjaya mengadakan 126 jualan MBB di pelbagai lokasi dengan nilai jualan mencecah RM10.5 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!