Pencapaian memuaskan, banyak perlu dilakukan hadapi Olimpik Paris 2024
MALAYSIA mungkin tidak mencapai sasaran tiga pingat pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang melabuhkan tirai pada Ahad malam.
Namun pujian harus diberikan kepada barisan 30 atlet yang membawa cabaran negara pada temasya sukan terbesar dunia itu, sekali gus menyaksikan Malaysia berada di kedudukan ke-74 daripada 206 negara yang bertanding.
Selepas lebih dua minggu ‘berkampung’ menyajikan aksi suka dan duka di negara matahari terbit itu, kejayaan meraih satu pingat perak dan satu gangsa di Olimpik Tokyo yang berlangsung dalam cabaran pandemik Covid-19, menyamai pencapaian kedua terbaik kontinjen Malaysia ketika edisi London 2012.
Pada temasya Olimpik kali ini, Malaysia meraih satu perak menerusi Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam acara keirin lelaki dan gangsa menerusi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara badminton beregu lelaki.
Pencapaian terbaik Malaysia di temasya Olimpik sejak menyertai kali pertama di edisi Melbourne 1956, adalah pada Rio 2016 apabila kontinjen negara membawa pulang empat pingat perak dan satu gangsa.
Berdasarkan keputusan di Olimpik Tokyo, kemunculan atlet muda seperti Aaron, Wooi Yik (badminton), Nur Dhabitah Sabri (terjun), Syaqiera Mashayikh (memanah), Azreen Nabila Alias (olahraga) dan Phee Jinq En (renang) memberi petanda baik dalam persiapan Malaysia menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.
Walaupun terlepas meraih pingat apabila menduduki tempat keempat dalam acara 3 meter papan anjal wanita, pencapaian Nur Dhabitah itu memberi isyarat betapa penerjun berusia 22 tahun itu mampu membawa khabar gembira pada temasya akan datang dalam tempoh tiga tahun lagi.
Begitu juga Syaqiera, biarpun gagal melangkah jauh pada penampilan pertamanya di pentas Olimpik selepas tewas 4-6 kepada pemanah nombor empat dunia dari Rusia, Elena Osipova di pusingan pertama recurve wanita, namun prestasinya boleh dibanggakan.
Atlet kelahiran Segamat, Johor itu beraksi dengan bergaya apabila mencipta rekod panahan peribadi terbaik dengan pungutan 630 mata pada pusingan penentuan ranking, sekali gus memberi sinar dalam kontinjen negara dalam acara recurve individu wanita pada Olimpik akan datang.
Pelari pecut wanita negara, Azreen Nabila Alias yang meraih tiket ‘wild card’ di temasya Sukan Olimpik Tokyo, juga mempamerkan aksi yang baik walaupun tidak berjaya untuk mara ke peringkat seterusnya dalam acara 100 meter (m).
Atlet berusia 21 tahun itu yang membuat penampilan kali pertama dalam Olimpik mencipta sensasi tersendiri apabila memperbaharui rekod peribadi terbaiknya dalam pusingan kelayakan apabila mencatat masa 11.77s, namun mengakhiri cabarannya di pusingan pertama.
Catatan peribadi terbaik atlet berusia 21 tahun itu adalah 11.92s.
Perenang negara Phee Jinq En turut menampilkan aksi membanggakan apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan 100m kuak dada dengan catatan 1 minit 08.40 saat (s) memperbaharui catatan miliknya sendiri 1:08.50s yang dilakukannya ketika meraih pingat emas pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.
Bagaimanapun, masa dicatatkan masih belum mencukupi untuk membolehkan perenang wanita berusia 23 tahun itu layak beraksi di separuh akhir apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-29 daripada 43 peserta keseluruhan.
Ketika kesemua atlet berkenaan menampilkan aksi membanggakan, beberapa atlet yang disandarkan membawa pulang pingat atau diharapkan mempamerkan aksi terpuji di temasya Olimpik Tokyo tidak menepati sasaran tersebut.
Setelah mencipta sensasi selepas muncul juara All England 2021, Lee Zii Jia yang dilihat antara pencabar pingat di Tokyo terkandas di pusingan 16 terbaik kepada Chen Long dari China, yang meraih pingat perak pada temasya kali ini sekali gus gagal mempertahankan emas dimenanginya di Rio 2016.
Temasya Olimpik Tokyo juga memberi isyarat bahawa perhatian segera perlu diberikan kepada skuad terjun negara apabila gagal membawa pulang sebarang pingat selepas muncul antara sukan yang cemerlang pada dua edisi temasya Sukan Olimpik lepas.
Membariskan ratu terjun negara Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong, Nur Dhabitah, Leong Mun Yee dan Ng Yan Yee, pencapaian skuad terjun negara pada temasya Olimpik kali ini adalah sesuatu yang mengecewakan ketika sasaran pingat diletakkan ke atas barisan penerjun kebangsaan itu.
Pandelela yang tampil dengan reputasi besar setelah memenangi dua pingat di pentas Olimpik selain meraih pingat emas pada Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA pada Mei lalu, gagal menyerlah dalam kedua-dua acara disertainya pada temasya Olimpik Tokyo ini.
Dalam saingan final 10m platform wanita individu di Pusat Akuatik Tokyo dua hari lalu Pandelela mempamerkan aksi ‘longlai’, sekali gus menamatkan saingan di kedudukan terakhir daripada 12 peserta.
Begitu juga ketika Pandelela bergandingan dengan Leong Mun Yee dalam acara 10m platform seirama wanita sebelum itu, apabila kedua-dua penerjun negara sekadar menamatkan acara berkenaan di tempat kelapan dan terakhir.
Dalam pada itu, jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei turut mengakhiri saingan Sukan Olimpik 2020 dengan aksi mengecewakan apabila gagal melepasi ketinggian 2.17m pada pusingan kelayakan.
Hup Wei, 34, seharusnya tidak berdepan masalah melepasi catatan awal berkenaan berdasarkan catatan peribadi terbaik dimilikinya 2.29m. Ini adalah penampilan ketiga pemenang pingat emas Sukan SEA sebanyak empat kali itu di pentas Olimpik selepas edisi 2008 di Beijing dan 2012 di London.
Di Beijing, beliau menamatkan saingan di kedudukan ke-32 keseluruhan dengan catatan 2.20m manakala di London dia berada di tempat ke-30 dengan lompatan setinggi 2.16m.
Mengulas pencapaian kontinjen negara pada Olimpik Tokyo, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pencapaian kontinjen negara itu seimbang dan memuaskan terutama mengambil kira bertanding dalam keadaan menghadapi pelbagai cabaran akibat pandemik Covid-19.
Reezal Merican, bagaimanapun memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana kontinjen negara tidak dapat membawa pulang tiga pingat yang disasarkan, terutamanya kilauan emas pertama negara di pentas Olimpik.
“Apa pun saya ingin mengucapkan terima kasih kepada atlet negara yang telah melakukan yang terbaik dan saya melihat kesungguhan mereka, tiada atlet yang datang ke sini makan angin atau sebagai penumpang,” katanya.
Beliau berkata, acara berbasikal yang menampilkan Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus Sharom adalah penyertaan terbaik Malaysia di temasya itu, manakala pencapaian dalam acara terjun tidak menepati sasaran ditetapkan.
“Pada (dua) temasya lepas kita menang pingat dalam acara terjun dan acara itu menjadi sandaran membawa balik pingat tetapi mereka tidak menepati sasaran. Saya sudah maklumkan kepada Setiausaha Kehormat Persekutuan Renang Malaysia (Mae Chen), perlu perbincangan menyeluruh mengenai perkara ini,” katanya.
Bergerak ke hadapan, Reezal Merican berkata, bagi mencapai sasaran dan mempersiapkan atlet untuk beberapa edisi Olimpik akan datang, tiga agenda penting akan dirangka pihaknya sebaik sahaja Sukan Paralimpik Tokyo 2020 berakhir pada September ini.
Beliau berkata, Jawatankuasa Penilaian dan Penambahbaikan Olimpik Tokyo 2020 akan ditubuhkan bagi menilai keseluruhan aspek dalam mencapai sasaran dan mempersiapkan atlet negara menghadapi temasya Sukan Olimpik akan datang.
“Jawatankuasa ini akan melihat keseluruhan program Road To Tokyo. Kita juga akan memulakan Program Khas Olimpik yang merupakan hasil dapatan daripada kajian Jawatankuasa Penambahbaikan Program Podium.
“Program ini akan menjadi fokus atau ‘graduation’ kepada Program Prodium sedia ada bagi membolehkan kita melihat tentang Olimpik di Paris 2024, Los Angeles 2028 dan Brisbane 2032. Program Khas Olimpik ini akan menjadi satu pelan hala tuju dalam Visi Sukan Negara 2030,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, kementerian juga mahu keterlibatan lebih berkesan daripada persatuan-persatuan sukan kebangsaan dalam mengenal pasti bakat di setiap peringkat agar dapat mewakili negara di peringkat kejohanan tertinggi terutama di temasya Sukan Olimpik.
Begitu pun, pencapaian atlet Malaysia yang lain pada temasya Sukan Olimpik Tokyo masih jauh berbanding lawan masing-masing dan sesuatu perlu dilakukan agar penyertaan mereka memberi impak cukup berkesan kepada arena sukan tanah air.
Antaranya, Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik artistik), Gavin Green dan Kelly Tan (golf), Nuraisyah Jamil-Juni Karimah Noor Jamali (pelayaran International 470 wanita), Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran Laser Standard), Nur Shazrin Mohamad (pelayaran Laser Radial) dan Nur Suryani Mohamed Taibi (menembak).
Melalui perancangan lebih menyeluruh dan berkesan, diharapkan kilauan emas pertama negara Malaysia dapat dijelmakan pada temasya Olimpik edisi Paris 2024. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!