Warga emas meninggal dunia di hadapan bank
SUNGAI PETANI - Seorang wanita berusia 63 tahun meninggal dunia di hadapan sebuah bank di Lagenda Height di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian disedari kakitangan bank berkenaan kira-kira jam 8.15 pagi yang kemudian menghubungi polis.
"Polis yang tiba di tempat kejadian mendapati wanita tersebut meninggal dunia dalam keadaan tertiarap berhampiran pintu masuk bank terbabit.
"Kakitangan bank berkenaan memaklumkan bahawa mangsa sering kali berada di kaki lima hadapan bank itu untuk meminta sedekah seawal jam 9 pagi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, saksi yang juga salah seorang kakitangan bank itu berkata, warga emas itu pada mulanya dilihat tidak bermaya dan duduk di hadapan pintu masuk 'kiosk' mesin juruwang automatik (ATM).
"Saksi kemudian melihat mangsa secara tiba-tiba jatuh tertiarap dan terus tidak sedarkan diri. Bagaimanapun, siasatan lanjut yang dibuat ke atas tubuh badan mangsa tidak menjumpai sebarang tanda mencurigakan," katanya.
Tambah Adzli, siasatan lanjut di tempat kejadian juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk ujian swab sebelum bedah siasat dijalankan dan usaha mengesan waris mangsa sedang dijalankan.
"Dalam pada itu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan sanitasi di tempat kejadian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!