12 pekerja judi dalam talian ditahan
MELAKA - Gara-gara tertarik dengan tawaran gaji mencecah hingga RM3,000, 12 individu termasuk tiga wanita ditahan dipercayai terbabit dalam sindiket perjudian dalam talian.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di bawah Op Dadu telah menahan kesemua individu berusia 18 hingga 28 tahun itu di sebuah rumah di Paya Rumput Perdana, di sini pada Jumaat lalu.
Menurutnya, kumpulan itu dipercayai beroperasi sejak sebulan lalu, dan setiap pekerja akan menggunakan medium media sosial seperti laman Facebook, Telegram dan aplikasi WhatsApp untuk mempromosikan perjudian tersebut.
Katanya, mereka ditawarkan bekerja secara sambilan untuk membuat promosi berkenaan dengan memperoleh pendapatan RM2,500 hingga RM3,000.
"Polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk tiga set komputer riba, dan 26 buah telefon bimbit pelbagai jenama disyaki digunakan untuk aktiviti mempromosikan perjudian haram dalam talian.
"Siasatan awal juga mendapati kumpulan terbabit menganjurkan tambah nilai perjudian dalam talian dengan menjadi ejen," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelas beliau, kesemua individu telah direman selama lima hari bermula Sabtu lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!