Mayat reput ditemui di kawasan semak
TUARAN - Misteri bau busuk tidak jauh dari kawasan semak terjawab apabila mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan reput di jalan belakang Pejabat Daerah Tamparuli, pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mayat dikenali sebagai Richard Amplos, 51, ditemui orang awam sebelum membuat laporan polis pada jam 5.25 petang di Balai Polis Tamparuli.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, polis dimaklumkan oleh ibu mangsa tentang seorang lelaki yang dikenali sebagai Amat datang memberitahu penemuan mayat anaknya tidak jauh dari rumah mereka.
"Ibu mangsa terus pergi ke lokasi sebelum menemui anaknya yang sudah meninggal dunia di kawasan semak. Mereka kemudian membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohd Hamizi berkata, ibu mangsa mendakwa kali terakhir melihat anaknya kira-kira jam 8 pagi Jumaat lalu ketika mangsa dikatakan keluar rumah untuk ke pekan Tamparuli.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuaran untuk proses bedah siasat selepas ujian saringan Covid-19.
"Siasatan masih diteruskan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!