Solat di masjid: Kelantan mohon perkenan Sultan
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memohon perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V untuk membenarkan rakyat yang sudah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 ke masjid bagi menunaikan solat jemaah dan Jumaat.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, langkah itu dilihat selari dengan cadangan kerajaan Persekutuan untuk membenarkan penerima lengkap dua dos vaksin Covid-19 ke masjid.
"Bagimanapun, semua itu di bawah kuasa Tuanku sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini. Kebiasaannya Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan mempersembahkan perkara itu kepada Tuanku untuk mendapat perkenan.
"Tengok macam mana keputusannya nanti, saya melihat perkara ini (membuka masjid untuk solat berjemaah dan Jumaat) amat baik dan keputusan tersebut amat ditunggu oleh rakyat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan peranti pintar kepada anak-anak pelanggan A-Rahn untuk kegunaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di Ibu Pejabat Permodalan Kelantan Berhad (PKB), di sini pada Isnin.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif PKB, Ab Aziz Yunus.
Mohd Amar yang merupakan Pengerusi PKB berkata, bagi kelonggaran lain yang diumumkan pada Ahad, pihaknya mengikut setiap keputusan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Bagaimanapun, katanya, kegagalan pematuhan SOP dibimbangi akan menyebabkan berlakunya pertambahan kes jangkitan baharu pada masa akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu berkata, tahap pematuhan SOP dalam kalangan rakyat di negeri ini dilihat kembali menurun.
Katanya, hal ini kerana ada dalam kalangan rakyat mula mengambil mudah perkara berkait dengan pematuhan SOP.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!