Perdana Menteri ucap takziah kepada keluarga Siti Sarah
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah kepada pelawak Shahmira Muhammad atau lebih dikenali sebagai Shuib Sepahtu atas pemergian isterinya, Siti Sarah Raissuddin yang meninggal dunia akibat Covid-19, pada awal pagi Isnin.
Katanya, khabar duka kehilangan Siti Sarah, anak seni yang cukup berbakat meninggalkan suami dan empat anak termasuk seorang bayi dalam keadaannya bertarung nyawa di hospital amat memilukan.
“Bukan sahaja ahli keluarga dan para peminatnya, bahkan seluruh rakyat Malaysia termasuk saya turut bersedih. Semoga ahli keluarga dan sahabat handai Allahyarham tabah menghadapi detik-detik yang mendukacitakan ini.
“Marilah kita berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solehah. Semoga ALLAH SWT terus melindungi dan memberi kekuatan kepada kita semua untuk berjuang memerangi pandemik ini. Insya-ALLAH,” katanya dalam catatan di Facebook beliau pada Isnin.
Penyanyi berusia 37 tahun itu meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras di sini pada jam 5.13 pagi Isnin.
Jenazahnya dikebumikan pada jam 1.45 tengah hari di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak.
Muhyiddin turut berdoa agar mereka yang terkorban akibat virus berkenaan diampuni, dirahmati dan diredai ALLAH.
“Moga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan moga keluarga yang ditinggalkan terus kuat mengharungi hari-hari mendatang,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!