Tangguh dulu kelonggaran SOP di semua negeri
SHAH ALAM – Kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) membabitkan penerima vaksin lengkap dua dos di semua negeri wajar ditangguhkan kerana jangkitan harian Covid-19 masih tinggi.
Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Dr Shawaludin Husin berpendapat, pada waktu ini, tidak wujud keperluan mendesak untuk melonggarkan SOP sedia ada di semua negeri termasuk yang berada pada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menurutnya, kadar vaksinasi khususnya di negeri berada di Fasa Dua juga di bawah 50 peratus.
“Pertama, kes harian dalam negara masih tinggi di paras hampir 20,000 dengan kes kategori empat dan lima dengan kadar peratusan semakin meningkat sehingga 600 orang sehari. Pesakit tenat ini akan memerlukan bantuan oksigen sekurang-kurangnya 10 hingga 21 hari.
“Umum tahu keadaan fasiliti kesihatan sudah melebihi tahap maksima. Semalam (Ahad) telah saksikan kadar kematian tertinggi dicatatkan sebanyak 360 kematian dengan 85 kes sebelum tiba di hospital (BID) akibat Covid-19.
“Di kala trend ini sedang meningkat, kualiti perkhidmatan kepada pesakit-pesakit bukan Covid-19 turut terjejas kerana penumpuan yang lebih kepada kes-kes Covid-19,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Dr Shawaludin berkata, meskipun langkah diambil untuk menyeimbangkan impak kepada ekonomi yang merudum, pekerjaan dan perusahaan serta pelaburan yang hilang, namun dilihat berisiko mengorbankan lebih banyak nyawa.
“Oleh itu dasar lebih berkesan dan tuntas diperlukan bagi mengatasi perkara ini dengan lebih jelas dan kelonggaran-kelonggaran ini wajar ditangguhkan dahulu,” katanya.
Mengambil contoh kelonggaran di negeri-negeri PPN Fasa Dua, Dr Shawaludin percaya ia tidak selari dengan data dan angka kerana kes-kes di negeri berkenaan juga mencatatkan kenaikan, bukan penurunan.
“Lebih mengerikan, kelonggaran yang diberikan ini sangat berisiko untuk lonjakan kes Covid-19 seperti rentas daerah dan dine-in di kedai makan.
“Mereka yang sudah menerima vaksin masih boleh saling menjangkiti dan ini sangat berisiko buat mereka yang masih belum divaksin sepenuhnya,” katanya.
Beliau juga meminta pihak korporat dan badan bukan kerajaan menggembleng tenaga menyalurkan bantuan kepada hospital-hospital kerajaan terutama di kawasan Lembah Klang dan lain-lain negeri yang terjejas teruk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!