Ramai lega dengan kelonggaran kemudahan terkini kerajaan

Pekerja Awangan Palace menyusun kerusi dan melakukan pensanitasian meja sebagai persediaan menerima pelanggan makan di kedai selepas kerajaan membenarkan aktiviti dine-in yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam ketika tinjauan, pada Isnin. -Foto Bernama
Pekerja Awangan Palace menyusun kerusi dan melakukan pensanitasian meja sebagai persediaan menerima pelanggan makan di kedai selepas kerajaan membenarkan aktiviti dine-in yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam ketika tinjauan, pada Isnin. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengusaha restoran, hotel dan fasiliti sukan menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan mereka menjalankan kembali aktiviti masing-masing dan memberi kelonggaran kepada penerima lengkap vaksin untuk melibatkan diri dalam aktiviti sosial berkuat kuasa Selasa.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berterima kasih kepada kerajaan atas kelonggaran membenarkan aktiviti dine-in, selain mengharapkan supaya lebih ramai pekerja mereka divaksin.

“Ini adalah satu perkara yang baik dan memang kami mengharapkan agar kaedah makan di kedai diberikan kebenaran dan kami ambil maklum saranan Perdana Menteri untuk pelanggan tidak meluangkan masa terlalu lama di kedai makan. Saya juga nak minta kerajaan agar dipercepatkan proses vaksinasi kepada pekerja kami di luar Lembah Klang yang agak perlahan kerana pekerja kami juga adalah seperti barisan hadapan.

"Di Lembah Klang, Alhamdulillah seramai 85 peratus pekerja telah divaksin dengan 50 peratus telah lengkap kedua-dua vaksin,” katanya dan menambah Presma memiliki seramai 4,500 ahli di seluruh negara.

Sambil menyambut baik saranan kerajaan supaya diperbanyakkan ruangan tempat makan secara terbuka, beliau berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) membenarkan penggunaan ruangan di luar premis selagi ia tidak mengganggu lalu lintas dan parkir.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng berkata, walaupun ia hanya meliputi negeri-negeri di bawah fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan seterusnya, ia adalah langkah penting ke hadapan bukan sahaja untuk industri pelancongan tetapi juga negara secara keseluruhan.

“Ia menanggung komitmen daripada kerajaan untuk peralihan negara dari negeri pandemik untuk menerima Covid-19 sebagai endemik. Walaupun ia adalah langkah progresif yang agak kecil terutamanya bagi industri pelancongan, industri kini boleh mempersiapkan diri untuk pembukaan semula, tidak lama lagi.

“Membenarkan dine-in di restoran, sebagai contoh, dijangka memberi manfaat kepada hotel, terutamanya hotel yang mendapat pengiktirafan sijil Clean and Safe oleh Bureau Veritas Certification Malaysia (label kebersihan dan keselamatan proprietari untuk hotel oleh MAH) termasuk ventilasi, aliran udara serta aturan tempat duduk sebagai sebahagian daripada garis panduan keselamatan dan kesihatan restoran di hotel,” katanya dalam kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pematuhan tinggi SOP oleh hotel adalah jaminan tambahan kepada orang ramai bahawa ia adalah selamat untuk menjamu selera dan malah untuk menginap sama ada untuk penginapan singkat atau untuk sebarang tujuan perjalanan lain.

Yap berkata, satu lagi cadangan MAH yang telah dikemukakan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri awal tahun ini adalah untuk membenarkan mereka yang telah mendapat vaksin lengkap, dibenar melakukan perjalanan rentas daerah dan negeri dengan kawalan tambahan hotel yang disahkan tempahan dan jadual perjalanan yang dapat dipantau oleh hotel.

“Dengan perkembangan semasa, ini harus dibenarkan pada fasa kelonggaran berikutnya, bermula untuk perjalanan antara negeri-negeri yang telah beralih ke fasa dua PPN. Industri hotel telah bersedia dan akan menyokong kerajaan dalam mengambil langkah-langkah yang dikira ke arah pembukaan semula pelancongan sepenuhnya,” katanya dan menambah MAH kini mempunyai kira-kira 1,000 ahli di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan Kebudayaan Majlis Belia Malaysia (MBM), Hasanul Amir Abdul Halim berkata kini menjadi tanggungjawab rakyat dan pemain industri yang dibenarkan untuk melaksanakannya dengan sebaik mungkin bagi membendung penularan Covid-19.

"Saya percaya bahawa rakyat bijak untuk membuat penilaian sendiri. Apa pun, rakyat juga perlu bertanggungjawab ke atas setiap tindakan mereka. Sememangnya pengumuman kelonggaran aktiviti bersukan dan riadah, aktiviti dine-in dan pelancongan ini amat ditunggu dan dialu-alukan kerana ia membantu menggurangkan tekanan selepas terlalu lama duduk di rumah.

“Selain itu, ia juga membantu pengusaha fasiliti sukan dan pelancongan untuk kembali menjalankan perniagaan sekali gus meraih semula pendapatan. Bagi pengusaha fasiliti ini, selain perlu memastikan individu yang ingin melakukan aktiviti atau menginap telah menerima vaksinasi lengkap, pekerja mereka juga perlulah juga lengkap divaksin,” katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad berkata, kerajaan bersetuju memberikan kemudahan bagi sektor sosial kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan menetap di negeri yang berada dalam fasa dua PPN dan seterusnya.

Antara kemudahan yang dibenarkan adalah rentas daerah, aktiviti dine-in atau makan di premis, aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan inap desa dan hotel.

Setakat ini, enam negeri berada di fasa dua PPN iaitu Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah manakala Perlis, Sarawak dan Labuan di fasa tiga.

Bagi fasa fatu PPN, ia melibatkan Kedah, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Putrajaya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!