Melabur untuk jana pendapatan pasif

No Image Caption
A
A
A

Pendapatan pasif ialah pendapatan yang terhasil tanpa kita perlu bekerja keras untuk memilikinya dan antara kaedah utama untuk menjana pendapatan pasif ialah menerusi pelaburan.

Menerusi pelaburan, kita berpeluang menerima keuntungan menerusi dividen dan keuntungan inilah yang akan menambah kepada wang yang kita laburkan. Oleh kerana wang yang dilaburkan menjana keuntungan, ia dianggap bekerja untuk pemiliknya.

Antara cara paling mudah untuk melabur ialah dengan mengetepikan sejumlah kecil daripada gaji bulanan, mungkin antara 5-10 peratus untuk dilaburkan. Amalkan kaedah labur dahulu baru belanja untuk pelaburan secara konsisten.

Apabila pelaburan dilakukan secara konsisten untuk satu tempoh tertentu, wang yang dilaburkan berpeluang untuk berkembang sehingga berkali ganda dengan syarat wang berkenaan dan dividen tidak dikeluarkan.

Sebagai contoh, pelaburan bulanan RM50 selama 5 tahun dalam instrumen pelaburan yang memberi purata dividen tahunan sebanyak 4 peratus, akan membolehkan pelabur mengumpul kira-kira RM3,300, yang mana RM300 daripadanya merupakan keuntungan daripada pelaburan.

No Image Caption

Bagaimanapun sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan, pelabur perlu melihat kepada risiko yang perlu ditanggung, justeru sekiranya matlamat pelaburan ialah menjana pendapatan pasif berterusan, pilihlah melabur dalam produk pelaburan berisiko rendah.

Ini kerana apabila melabur dalam produk pelaburan berisiko rendah seperti ASB dan deposit tetap, pelabur tidak berdepan kemungkinan kehilangan modal atau kerugian.

Artikel Berkaitan:

Pelaburan dalam produk berisiko rendah juga memudahkan pelabur merancang kewangan selari dengan matlamat yang ditetapkan.

Katakan matlamat Ahmad ialah mengumpul wang sebanyak RM10 ribu untuk perkahwinannya dan hari bahagia berkenaan bakal diadakan dalam tempoh 3 tahun lagi.

Dengan andaian purata pulangan tahunan ialah 4 peratus setahun, Ahmad perlu melabur antara RM250 hingga RM300 setiap bulan untuk mengumpul RM10 ribu dalam tempoh 3 tahun. Syarat utama untuk mencapai matlamat berkenaan ialah pelaburan konsisten dan modal serta dividen tidak boleh dikeluarkan.

Namun begitu, jika Ahmad lebih berani dan inginkan keuntungan tinggi, dia boleh memilih untuk melabur dalam produk pelaburan berisiko tinggi. Namun begitu harus diingat, apabila memilih produk pelaburan dalam kategori ini, risiko kerugian juga adalah tinggi.

Jadi sebelum beralih kepada pelaburan berisiko tinggi seperti pasaran saham, pastikan anda sudah mempunyai akaun pelaburan berisiko rendah yang mewakili sekurang-kurangnya 6 bulan gaji sedia ada sebagai jaminan kewangan sekiranya berlaku perkara luar dugaan.