Rossi sasar kedudukan lebih baik di GP Austria
PELUMBA Petronas Yamaha Sepang Racing Team (PYSRT), Valentino Rossi lega apabila berjaya menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Styria pada Ahad pada kedudukan ke-13 biarpun bermula pada kedudukan ke-17.
Menurut Rossi, kedudukan berkenaan turut membantu memberikan mata buat pasukan PYSRT dalam kejuaraan dunia.
“Secara keseluruhannya, perlumbaan kali ini bukanlah satu perlumbaan yang boleh dianggap buruk buat saya kerana saya berjaya membantu pasukan untuk meraih mata.
“Pada perlumbaan kali ini juga saya rasa bersemangat dan saya mampu untuk berada di belakang pelumba-pelumba lain dengan rentak yang baik,” katanya.
Perlumbaan di Litar Red Bull Ring itu, Rossi menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 26 minit 282 saat di belakang pelumba Sepanyol, Jorge Martin yang mencipta kejutan muncul juara apabila mengenepikan pelumba lain termasuk rakan senegara Joan Mir dan pelumba Perancis, Fabio Quartararo.
Rakan sepasukan Rossi, Cal Crutchlow yang menggantikan sementara tempat Franco Morbidelli yang masih dalam proses pemulihan setelah menjalani pembedahan baru-baru ini turut berjaya menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-17.
Dalam pada itu, Xavi Vierge dan Jake Dixion masing-masing mencatat keputusan memberangsangkan dalam Moto2 yang menyaksikan Vierge menamatkan perlumbaan di kedudukan sembilan dan Dixon (11) manakala dalam Moto3, Darryn Binder meraih kedudukan keenam dan John McPhee (13).
Sementara itu, Rossi berkata, dia tidak sabar untuk mengharungi perlumbaan pada GP Austria hujung minggu ini dalam memperbaiki kedudukannya serta kedudukan pasukan PYSRT dalam kejuaraan dunia.
“Saya tidak sabar untuk meneruskan perlumbaan hujung minggu ini kerana saya tidak melakukan kesilapan hujung minggu lalu.
“Oleh itu, saya yakin dapat melakukan yang lebih baik minggu ini dan begitu juga dengan rakan-rakan sepasukan yang lain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!