Rakyat sibuk elak Covid, ahli politik pun sibuk tapi sibuk buat percaturan
SELEPAS berakhirnya Olimpik, tak sangka ada satu lagi ‘temasya persaingan’ untuk kita semua saksikan yang dijadual berlangsung pada bulan depan di Parlimen Malaysia.
Maka, sepanjang bulan ini ahli-ahli Parlimen kita, baik daripada kerajaan mahupun pembangkang, sudah tentu sibuk buat persiapan sebelum Parlimen mula bersidang pada 6 September ini.
Mereka sibuk memancing sokongan untuk masing-masing memastikan mempunyai jumlah yang padu bagi membentuk kerajaan dan memilih perdana menteri.
Daripada 220 kerusi (dua kerusi kosong kerana Covid-19), mereka sekurang-kurangnya perlu memperolehi 111 kerusi, baru dikira berjaya.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini sudah menyatakan kesediaan untuk menyerahkan nasibnya kepada Parlimen. Itulah keputusan yang diambilnya dan keputusan itu juga dimahukan pembangkang. Ia telah mendapat restu Yang di-Pertuan Agong.
Wakil-wakil rakyat menagih angka politik mereka. Sampai hari ini, masih belum nampak pihak mana yang akan menang. Jadi tidak hairanlah kita akan dihiburkan satu pertarungan politik yang sengit dari sekarang sehingga menjelang 6 September nanti.
Setakat hari ini, masing-masing mendakwa sudah ada majoriti di tangan. Tapi ia sekadar dakwaan ataupun lebih kepada perang saraf untuk menunjukkan kekuatan. Merak jangkakan akan berlaku drama menyatakan sokongan dalam beberapa minggu akan datang. Malah ia telahpun sedang berlaku sekarang. Yang tiada kuasa menawarkan jawatan pun boleh tawar macam-macam termasuk jawatan menteri seolah-olah jawatan ini boleh ditawar macam kelab bola sepak membeli pemain.
Rakyat masih rasa takut dengan angka covid-19 yang sudah mencecah lebih daripada 20,000 kes dalam sehari. Tetapi wakil-wakil rakyat kita lebih ghairah dengan angka sokongan daripada segala-galanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!