Rugi RM36,990 angkara 'umpan' skim pelaburan tidak wujud
KUANTAN - Gambar sekeping cek bernilai RM50,000 menjadi umpan sindiket penipuan untuk memperdaya seorang lelaki hingga mangsa mengalami kerugian RM36,990.
Cek tersebut kononnya wang keuntungan hasil pelaburan yang disertai mangsa sebelum ini, namun selepas segala bayaran dibuat, mangsa gagal menerima cek tersebut untuk ditunaikan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 46 tahun bukan sahaja gagal menerima cek yang dijanjikan malah suspek terus meminta bayaran tambahan.
Menurutnya, mengesyaki telah ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Raub pada Isnin.
Katanya, nasib malang menimpa mangsa itu berlaku selepas dia menyertai tawaran peluang pelaburan yang diiklankan melalui laman laman sosial Facebook pada Jun lalu.
"Mangsa berurusan dengan seorang lelaki (suspek) sebelum ditawarkan tiga pakej pelaburan dengan modal daripada RM650 hingga RM2,500 dan dijanjikan pulangan tinggi.
"Mangsa mencuba dengan pakej paling rendah dan membuat bayaran pelaburan RM650 pada 17 Julai lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mohd Wazir berkata, termakan dengan helah suspek, mangsa membuat bayaran tambahan untuk menyertai pakej seterusnya bagi mendapatkan keuntungan lebih besar.
"Sehingga 30 Julai lalu, mangsa telah membuat 11 transaksi bayaran melalui empat akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan bayaran RM36,990.
"Bagi meyakinkan mangsa, suspek menghantar gambar cek RM50,000 melalui WhatsApp sebagai bukti keuntungan yang bakal diterima," katanya.
Tambah beliau, pada 3 Ogos lalu, mangsa ke sebuah cawangan bank di Raub untuk menyemak bagi akaun banknya dan mendapati tiada bayaran dibuat seperti yang dijanjikan.
"Mangsa menghubungi suspek untuk bertanya berhubung perkara itu, namun dia diminta membuat sejumlah bayaran lagi sebelum cek tersebut ditunaikan ke akaun banknya.
"Mangsa mula curiga dan tidak membuat bayaran seperti diminta sebaliknya membuat laporan polis kerana mengesyaki telah ditipu," katanya.
Mohd Wazir berkata, pihaknya percaya suspek memperdaya mangsa dengan menawarkan pelaburan yang tidak wujud di laman Facebook hingga mendorong mangsa membuat bayaran dan mengalami kerugian.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!