Kelonggaran pergerakan terlalu awal: DPIM

Shahir
Shahir
A
A
A

KOTA BHARU - Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menyifatkan penggumuman kelonggaran pergerakan melibatkan beberapa skop utama bermula Selasa adalah terlalu awal.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, pihaknya memandang serius pelbagai risiko menanti terutamanya apabila membenarkan individu dari luar negara yang lengkap pengambilan vaksin untuk dikuarantin di rumah semasa tiba di Malaysia.

"Adakah kerajaan tidak mengambil iktibar daripada Kluster Sivagangga yang terjadi pada Ogos 2020?

"Kami berpendapat kelonggaran ini akan menyebabkan varian Covid-19 yang lebih berbahaya seperti varian Delta Plus atau varian Lambda akan menyelinap masuk ke dalam negara kita, yang mana dua varian ganas ini sedang menular di luar negara.

"Fakta dan sains menunjukkan individu yang sudah divaksin lengkap tidak terkecuali daripada dijangkiti Covid-19, lebih-lebih lagi varian baharu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurutnya, pelbagai kemudahan lain yang diumumkan turut dianggap pramatang ketika negara mencatatkan kes harian sekitar 18,000 hingga 20,000 sehari dan turut mencatatkan kes kematian tertinggi setiap minggu.

Beliau berkata, kemudahan perjalanan dan makan di restoran bakal mengakibatkan negeri-negeri Fasa 2 akan terdedah kepada penularan kluster baharu, seperti mana terjadi pada akhir tahun lepas apabila kebenaran rentas negeri diberikan terlalu awal.

"Negeri-negeri hijau ketika itu seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang bertukar menjadi negeri merah dalam tempoh seminggu.

Artikel Berkaitan:

"DPIM berpendapat kerajaan seharusnya memberikan tumpuan kepada program vaksinasi supaya dapat mencapai imunisasi kelompok 80 peratus sebelum apa jua perkara dilonggarkan.

"Kerajaan juga perlu menumpukan usaha dalam menangani kes 'brough-in-dead' (BID) yang semakin meningkat. Ini adalah fakta dan sains yang perlu diteliti kerana kes BID adalah mereka yang dilaporkan tidak bergejala atau bergejala ringan pada waktu dikesan positif Covid-19.

"Jadi, kemungkinan besar kes tahap satu atau tahap dua menjadi ganas kepada tahap empat atau lima dalam sekelip mata. Mungkin juga ada kes terpencil yang mana jenazah disahkan positif setelah dihantar ke hospital.

"Sudah tiba masanya, kerajaan bertindak pantas agar situasi negara kita tidak menjadi seperti di India yang mana pesakit bergelimpangan di atas lantai hospital dan mayat dilonggokkan kerana tiada tempat simpanan.

"Kegusaran ibu bapa juga ada benarnya apabila Kementerian Pendidikan mahu membuka kembali pembelajaran di sekolah secara bersemuka pada awal September ketika keadaan tidak terkawal.

"Adakah kita belajar dengan peningkatan kes Kluster Pendidikan yang berlaku pada awal tahun ini? Ambillah iktibar dan pengajaran daripada pengalaman kita," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!