Grealish akui faham perasaan Messi
PEMAIN baharu Manchester City, Jack Grealish mengakui memahami perasaan bekas kapten Barcelona, Lionel Messi ketika mengumumkan untuk meninggalkan Barcelona baru-baru ini.
Menurut Grealish, dia dan Messi sebenarnya berkongsi perasaan yang sama apabila membuat keputusan meninggalkan kelab yang diwakili sekian lama.
“Ia sebenarnya satu keputusan yang sangat sukar buat saya. Semua orang turut menyaksikan reaksi Messi ketika mengumumkan untuk meninggalkan Barcelona; seperti itulah perasaan yang saya rasai ketika ini.
“Namun, saya turut merasakan sudah tiba masanya untuk saya meneruskan ‘perjalanan’ karier saya di mana saya sering mengatakan betapa saya ingin beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara.
“Jadi saya rasa ia adalah saat paling sesuai (berhijrah) ke Etihad kerana City adalah kelab yagn penuh dengan potensi dan merupakan kelab paling berjaya dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak 10 tahun lalu,” katanya.
Pada Isnin, Messi dengan penuh emosi mengesahkan akan meninggalkan Barcelona setelah tidak menerima tawaran lanjutan kontrak daripada gergasi La Liga itu.
Difahamkan pemenang enam kali anugerah Ballon d’Or itu turut dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Ligue 1, Paris Saint-Germain.
Sementara itu Grealish menegaskan dia tidak berdepan tekanan berikutan perpindahannya ke Manchester City yang dikatakan telah mencipta rekod perpindahan tertinggi Liga Perdana Inggeris (EPL) setakat ini dengan nilai RM577.8 juta (£100 juta).
“Nilai perpindahan itu tidak memberikan sebarang kesan kepada saya. Namun,saya tetap berbangga kerana City sanggup berbelanja sebanyak itu bagi mendapatkan khidmat saya.
“apa pun, kini saya akan cuba memberikan aksi yang terbaik kerana kini, saya diharapkan pula untuk menjadi antara pemain yang diharapkan menyinar musim ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!