Klopp sahkan Robertson terlepas aksi awal EPL kerana cedera

Robertson dipapah meninggalkan padang akibat kecederaan berkenaan. - Foto Reuters
Robertson dipapah meninggalkan padang akibat kecederaan berkenaan. - Foto Reuters
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp mengesahkan tonggal pertahanan Andy Robertson bakal terlepas aksi awal Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini berikutan kecederaan yang dialami pemain berusia 27 tahun itu.

Menurut Klopp, pemain kelahiran Scotland itu mengalami kecederaan setelah berlaga dengan pemain Atheletic Club ketika mengharungi aksi pra-musim baru-baru ini.

Bagaimanapun Klopp berkata, kecederaan Robertson difahamkan tidak serius dan pemain pertahanan kental itu dijangka akan menyertai semula latihan pasukan dalam tempoh beberapa minggu selepas ini.

“Pemeriksaan lanjut terhadap Robertson telah pun dibuat dan berdasarkan laporan, Robertson disahkan mengalami kecederaan ligament akibat perlanggaran berkenaan.

“Berikutan kecederaan berkenaan, Robertson juga tidak dapat beraksi pada beberapa aksi awal Liverpool kerana difahamkan, kecederaan berkenaan mengambil masa untuk sembuh sepenuhnya.

“Setakat ini, saya tidak dapat memberikan jangkaan bilakah Robertson akan sembuh, namun saya jangkakan dalam beberapa minggu,” katanya.

Terdahulu, Liverpool menewaskan kelab La Liga, Osasuna 3-1 pada aksi persahabatan pra musim di Anfield pada Isnin yang menyaksikan penyerang, Roberto Firmino menjaringkan gol pada minit ke-21 dan min-41 manakala satu gol lagi hasil jaringan sendiri pemain Osasuna, Jesus Areso Blanco pada minit ke-14, manakala Osasuna mendapat gol saguhati menerusi Kike pada minit ke-70.

Sementara itu Klopp berkata, sepanjang ketiadaan Robertson, dia bakal menurunkan pemain pertahanan, Konstantinos Tsimikas dalam usaha mengukuhkan benteng pertahanan skuad The Reds.

Artikel Berkaitan:

“Kita masih ada beberapa pemain pertahanan yang boleh diturunkan bagi menggalas tugas yang ditinggalkan Robertson.

“Kali ini saya memilih Tsimikas kerana saya yakin Tsimikas mampu melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik nanti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!