Selangor perluas lokasi hotspot
SUBANG - Kerajaan Selangor bakal memperluaskan perkhidmatan jalur lebarnya dengan menyasarkan untuk menambah jumlah lokasi hotspot Wifi Selangorku khususnya di kawasan luar bandar.
Pengarah Urusan Smartsel Sdn Bhd (Smartsel), Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir berkata buat masa ini pihaknya telah memasang sebanyak 3911 kawasan hotspot di sekitar Selangor dan jumlah itu disasarkan meningkat kepada 4400 menjelang akhir tahun ini.
Beliau berkata, Smartsel mensasarkan untuk menyambungkan seluruh kawasan di daerah Selangor dengan rangkaian jalur lebar dalam tempoh masa tiga tahun akan datang.
"Untuk tahun ini, kita akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melaksanakan pemasangan Wifi Selangorku di 11 hospital dan 70 klinik kerajaan di negeri ini.
"Di samping pihak kami juga mempunyai perancangan untuk melaksanakan pembinaan jaringan sendiri bagi memberi perkhidmatan jalur lebar kepada penduduk khususnya mereka di kawasan luar bandar," katanya kepada pemberita selepas Program The Sixth of a Series of Business Talks: Digital Infrastructure yang berlangsung di Hotel Saujana hari ini.
Mengulas lanjut, Suhaimi berkata buat masa ini terdapat sekitar 1.1 juta pengguna berdaftar Wifi Selangorku dan pihaknya menyasarkan untuk meningkatkan jumlah tersebut kepada 1.2 juta menjelang akhir tahun ini.
Beliau berkata, Smartsel juga akan bekerjasama dengan beberapa pemain industri bagi memastikan penyampaian rangkaian jalur lebar yang memuaskan kepada rakyat di negeri ini.
"Contohnya sekiranya ada syarikat telekomunikasi yang sudah mempunyai infrastruktur di kawasan tertentu, kita mungkin boleh kerjasama untuk guna kemudahan mereka dan sebagainya.
"Namun jika tiada kita akan bina sendiri. Ini adalah usaha yang akan kita laksanakan bagi memastikan seluruh rakyat mendapat jaringan jalur lebar sebaiknya,"katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Diperbadankan (MBI), YM Raja Shareen Raja Othman berkata antara cabaran yang Smartsel perlu hadapi adalah bagi menghubungkan semua penduduk di negeri ini malah kebanyakan pemain industri juga hanya tertumpu di kawasan Lembah Klang.
Dalam usaha itu, beliau berkata langkah berkenaan pastinya memerlukan satu bentuk pelaburan yang besar namun pihaknya akan meneliti langkah terbaik bagi memperluaskan lagi jaringan jalur lebar di negeri ini.
"Bagi saya kerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi lain ini amat baik. Menang ada cabaran dan halangan namun ia tidak terhenti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!