Nelayan hilang ditemui lemas

Mayat nelayan yang hilang di perairan Tanjung Hantu diserahkan kepada Polis untuk tindakan lanjut. - Foto ihsan Maritim Malaysia Perak
Mayat nelayan yang hilang di perairan Tanjung Hantu diserahkan kepada Polis untuk tindakan lanjut. - Foto ihsan Maritim Malaysia Perak
A
A
A

LUMUT - Seorang nelayan yang dilaporkan hilang ketika keluar menangkap ikan pada Khamis lepas ditemukan lemas pada Isnin.

Mayat Amat Beram Sah, 80, ditemui oleh nelayan tempatan lain kira-kira jam 3 petang di kedudukan 6.2 batu nautika barat daya Pulau Talang di sini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak, Kepten Maritim Sharizan Raman berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi mengaktifkan semula operasi selepas mendapat maklumat tersebut.

"Mayat mangsa dibawa ke jeti PPM Kampung Acheh di sini dibantu Pasukan Polis Marin.

"Mayat mangsa dicam oleh ahli keluarganya sebelum diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Seri Manjung bagi tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Sinar Harian melaporkan Maritim Malaysia Perak mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan tempatan yang dikhuatiri hilang kira-kira 1.3 batu nautika barat daya Tanjung Hantu di sini pada Khamis.

Berdasarkan rekod, bot mangsa yang berpangkalan di Pulau Pangkor itu ditemui oleh nelayan tempatan tanpa pengemudi kira-kira jam 11 pagi di sekitar kawasan aduan.

Operasi SAR dijalankan selama lima hari melibatkan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), PPM serta hampir 20 buah bot nelayan tempatan dengan keseluruhan kawasan pencarian menjangkau 111.64 batu nautika persegi sebelum ditamatkan sepenuhnya oleh MRSC Langkawi kira-kira jam 7.30 malam pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Maritim Malaysia lancar gerakan cari, selamat nelayan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!