Mayat lelaki tertiarap di tebing sungai
KUALA TERENGGANU - Mayat seorang lelaki yang tertiarap ditemukan berhampiran sungai dekat Kampung Sungai Rengas di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, pihak polis bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima laporan orang awam berhubung penemuan mayat itu kira-kira jam 9.57 malam.
"Hasil siasatan pihak polis di lokasi kejadian mendapati terdapat satu mayat dalam keadaan tertiarap di atas tanah di tebing sungai manakala keretanya dijumpai terletak 200 meter dari lokasi penemuan mayat.
"Mangsa dipercayai telah meninggal (dunia) lebih tiga hari berdasarkan keadaan mayat yang sudah membusuk," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Menurut Abdul Rahim, proses pengecaman mayat mangsa yang berusia 39 tahun dan telah berkahwin itu dilakukan oleh ahli keluarganya.
"Berdasarkan maklumat daripada keluarga, mangsa keluar rumah selepas asar pada Khamis minggu lalu untuk pergi memancing.
"Keluarga mangsa memaklumkan tidak membuat laporan polis berhubung kehilangan mangsa kerana sebelum ini mangsa dikatakan kerap keluar memancing dan pernah tidak pulang ke rumah dalam tempoh beberapa hari," katanya.
Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata, setakat ini punca kematian mangsa masih belum dapat dikenal pasti.
"Mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.
"Setakat ini siasatan kes ini dilakukan dibawah laporan mati mengejut (SDR)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!