Setem cukai rokok dinaik tarif

T Subromaniam sewaktu sidang media selepas Mesyuarat Pengarah-Pengarah Kastam Se-Malaysia Ke-87 di ibu kota, hari ini. - Foto Bernama
T Subromaniam sewaktu sidang media selepas Mesyuarat Pengarah-Pengarah Kastam Se-Malaysia Ke-87 di ibu kota, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setem cukai rokok pada kotak rokok akan dinaik taraf dengan ciri-ciri keselamatan yang baharu bagi mengelak berlaku pemalsuan, kata Ketua Pengarah Jabatan Kastam Datuk Seri T. Subromaniam.

Tanpa mendedahkan butiran ciri keselamatan pada setem cukai itu, beliau berkata penambahbaikan berkenaan yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat, dibuat bagi membanteras penyeludupan rokok.

“Kami sedang dalam proses untuk melaksanakannya...yang jauh lebih baik berbanding pelekat setem cukai yang ada pada ketika ini.

“Kastam sedang cuba memperbaiki setem cukai menggunakan kaedah baharu yang mempunyai ciri keselamatan yang sukar dipalsukan,” katanya pada sidang akhbar mengenai prestasi Kastam membanteras penyeludupan rokok dan minuman keras, di sini hari ini.

Subromaniam berkata setem cukai baharu itu akan mempunyai ciri mudah dikesan dan Kastam sedang membuka tender kepada mana-mana syarikat untuk menghasilkan pelekat berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, ada pihak membeli setem cukai rokok tulen dikeluarkan Kastam dalam kuantiti kecil sebelum mengulang cetak jutaan keping setem palsu yang kemudian dilekat pada kotak rokok, seolah-olah rokok itu sudah bercukai walaupun dijual di bawah harga minimum.

Menurut laporan itu, kaedah berkenaan dipercayai digunakan beberapa pengimport berlesen dan pengedar bagi meyakinkan peruncit di seluruh negara untuk menjual produk mereka. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!