Kisah tular lelaki OKU mohon bantuan isu berulang sejak 2018

Hantaran Saipolyazan di Facebook pada Selasa. Saipolyazan (kanan)
Hantaran Saipolyazan di Facebook pada Selasa. Saipolyazan (kanan)
A
A
A

AMPANG - Kisah berkenaan lelaki orang kurang upaya (OKU) meminta bantu yang tular dalam media sosial adalah isu berulang sejak tahun 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan M Yusof berkata, kisah tersebut disahkan oleh lelaki berkenaan setelah Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor bersama Eksekutif Operasi Agihan Daerah Hulu Langat bertemunya pada Isnin.

Menurutnya, kisah tersebut tular pada tahun 2018 apabila lelaki tersebut menerima rawatan di sebuah hospital bagi memotong kedua-dua belah kakinya akibat menghidap kencing manis dan ada individu simpati melihat keadaannya.

“Individu terbabit tidak mengetahui kisah sebenar lelaki ini dan bertindak membuatkan satu hantaran di aplikasi WhatsApp untuk memohon sumbangan orang ramai malah dia tidak mengetahui mengapa kisah lelaki terbabit sering ditularkan walaupun ia isu lama.

“Sehingga kini jumlah sumbangan yang diperolehi dalam akaunnya melebihi RM100,000. Setiap kali kisahnya tular, akaun banknya akan dibekukan kerana transaksi aliran wang masuk yang sangat banyak dan kini kehidupannya serba selesa, bahkan lebih daripada cukup,” katanya menerusi satu hantara di Facebook pada Selasa.

Dalam pada itu, Saipolyazan berkata, lelaki tersebut juga sudi membuat satu kenyataan video untuk memohon pada semua masyarakat dan warganet agar menghentikan perkongsian info mengenainya.

Ujarnya, semua sumbangan yang diterima selama ini sangat mencukupi dan dia juga dibantu oleh ahli keluarganya yang lain.

“Oleh yang demikian, kami sampaikan kisah sebenar buat anda semua. Rujuklah dahulu pada kami atau badan bertanggungjawab yang lain sebelum menyebarkan sesuatu info seperti ini.

Artikel Berkaitan:

“Isu sumbangan yang telah diterima adalah tanggungjawab pemuda ini dan pihak kami tidak boleh mencampuri urusan tersebut,” katanya.

Baru-baru ini, kisah lelaki OKU meminta bantuan kewangan kerana tiada pendapatan akibat terkesan dengan pandemik Covid-19 tular di media sosial.

Menerusi hantaran tular tersebut, dia yang menjual tisu dan tinggal di Taman Cahaya Indah, Ampang sebelum ini tidak dapat berbuat demikian kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!