Kerajaan teliti prosedur berkaitan visa menunaikan umrah
BENTONG - Kerajaan sedang meneliti beberapa prosedur termasuk berkaitan visa, sebelum membolehkan rakyat Malaysia menunaikan ibadah umrah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
“Berkenaan umrah kami sedang mengutip sebanyak mungkin maklumat, kita perlu lihat keseluruhannya antaranya berkaitan visa, kemungkinan kita akan tengok lebih dekat bagaimana boleh sekalikan sebagai contoh visa pelancongan bersama visa umrah.
“Bila dapat maklumat lengkap dan tepat, kita akan uar-uarkan dari masa ke masa,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan kebenaran menunaikan umrah selepas, menyampaikan bantuan di Program Bantuan Musaadah 2021 di Janda Baik, Bentong pada Selasa.
Zulkifli sebelum ini dilaporkan berkata, rakyat Malaysia dijangka dibenarkan mengunjungi Arab Saudi termasuk menunaikan ibadah umrah dalam tahun ini, bagaimanapun keputusan itu bergantung kepada situasi semasa Covid-19 di negara ini, termasuk kadar vaksinasi dan kebenaran daripada kerajaan Arab Saudi.
Arab Saudi telah membuka kembali pintunya kepada pelancong dari 49 negara termasuk Malaysia sejak 1 Ogos lepas, dengan mempermudah prosedur mendapatkan visa bagi tempoh setahun dan kebenaran tinggal hingga 90 hari di negara itu.
Mengulas mengenai program yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Tuan Kamarul Arief Tuan Soh itu, Zulkifli berkata, lebih 100 kotak barangan keperluan harian telah disalurkan kepada asnaf menerusi Yadim.
“Yadim bergerak setiap hari hampir di seluruh negara kerana mereka ada sukarelawan di cawangan untuk sampaikan sumbangan, saya harap dengan usaha ini dapat meringankan beban penerima,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!