Beasley layak terima gelaran Datuk
ATLET Sukan Lasak, Penjelajah Grand Slam Negara yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin mengesyorkan agar kerajaan sedia mempertimbangkan supaya jurulatih pelumba basikal negara, John Beasley menerima gelaran Datuk.
Menurut Muhamad Muqharabbin, pengorbanan Beasley kepada negara selama berbelas tahun dalam melatih pelumba basikal negara, Datuk Azizulhasni Awang, perlu mendapat pengiktirafan sewajarnya daripada kerajaan.
"Bukan mudah menjadi seorang jurulatih yang berjaya menghasilkan atlit bertaraf dunia seperti Datuk Azizulhasni dan lainnya. Kejayaan beliau dalam merancang strategi selama bertahun-tahun akhirnya membuahkan hasil buat atlit negara.
"Saya amat bersetuju agar beliau diberikan gelaran Datuk dan saya yakin Datuk Azizulhasni serta pelumba-pelumba basikal lain juga juga berpendirian dan sependapat dengan saya," katanya.
Malah menurut Muhamad Muqharabbin, semenjak Beasley menjadi jurulatih, ramai yang sudah mencapai kejayaan berganda antaranya Josiah Ang, Fateha Mustapha dan kini berjaya melahirkan pelapis seperti Fadhil Zonis, Mohd Shah Firdaus dan Anis Roshidi yang berjaya merangkul beberapa pingat di temasya antarabangsa.
"Bahkan, setelah Azizulhasni memenangi pingat di Rio, beberapa negara menawarkan beliau untuk menjadi jurulatih bagi negara mereka, namun John Beasley menolak tawaran lumayan tersebut semata-mata untuk terus melahirkan lebih ramai pelumba basikal Malaysia yang bertaraf antarabangsa.
"Saya berharap Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dapat membawa dan menyampaikan perkara ini ke atas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!