'Saya rasa dunia sepi, sesepinya...' - Raissuddin

Tangkap layar Raissuddin semasa majlis bacaan Yasin dan tahlil buat Allahyarham Siti Sarah melalui aplikasi Zoom pada Selasa malam.
Tangkap layar Raissuddin semasa majlis bacaan Yasin dan tahlil buat Allahyarham Siti Sarah melalui aplikasi Zoom pada Selasa malam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebaik menerima khabar duka pemergian anak tercinta, Siti Sarah ke rahmahtullah, dunia Raissuddin Hamzah sepi secara tiba-tiba.

Kata Raissuddin, tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kepiluannya melepaskan pujaan hatinya itu untuk kembali ke sisi ALLAH SWT.

“Dunia ini sesepi-sepinya, itulah yang boleh jelaskan perasaan saya. Tiada kata-kata lain yang boleh menjelaskan kedudukan saya selain sepi,” kata Raissuddin menjawab soalan media sebaik selesai majlis bacaan Yasin dan tahlil buat Allahyarham Siti Sarah melalui aplikasi Zoom pada Selasa malam.

Ini merupakan kali pertama Raissuddin yang juga seorang penyanyi terkenal di era 1980-an berkongsi perasaanya dengan wartawan selepas 24 jam anak tercintanya kembali ke rahmahtullah selepas beberapa hari bertarung nyawa akibat jangkitan Covid-19.

Kembali mengingati detik-detik dimaklumkan berita sedih itu, Raissuddin berkata, masih jelas di ruang fikirannya bagaimana menantunya, Shuib datang berlutut dan memberitahunya dalam nada yang sangat tenang.

“Shuib datang ke bilik saya dengan senyum. Shuib duduk berlutut depan saya dan beritahu dia mahu ke hospital dan berkata... Siti (Sarah) dah tak ada abah,” cerita Raissuddin dalam nada sebak.

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Sarah meninggal dunia

'Jaga anak-anak dengan baik, pesanan terakhir Sarah'

Hampir 300 orang solat jenazah ghaib buat Siti Sarah di Masjidil Haram

Sekalipun sukar untuk menerima erti kehilangan, Raissuddin dalam masa sama berlapang dada menerima qada dan qadar, apa lagi anaknya itu dijemput mengadap Allah dalam penuh kemuliaan.

“Dia seorang anak yang cukup baik, tak pernah bantah, tak pernah lawan cakap saya, ikut apa sahaja saya cakap... dia juga anak yang sangat manja,” kata Raissuddin dalam nada tersekat-sekat.

Siti Sarah, kata Raissuddin, akan kekal di sanubarinya sebagai anak yang soleh dan telah banyak memberi kegembiraan bukan sahaja pada keluarga bahkan kepada seluruh masyarakat.

Artikel Berkaitan:

“Apa yang saya harapkan, marilah kita sama-sama mendoakan dia, doakan Siti Sarah agar dia tenang di sana,” ujar Raissuddin yang baru sahaja selesai menjalani kuarantin selepas turut dijangkiti Covid-19.

Siti Sarah yang juga seorang penyanyi terkenal tanah air menghembuskan nafas terakhir pada 5.13 pagi Isnin di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Selain suaminya, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, Allahyarham Siti Sarah turut meninggalkan empat anak mereka iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang dilahirkan, Jumaat lalu.

Siti Sarah yang terpaksa ditidurkan, melahirkan Ayash melalui pembedahan tanpa sedar sekitar pukul 5 petang.

Jenazah Allahyarham Siti Sarah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, sekitar pukul 1.20 tengah hari Isnin.

Allahyarham Siti Sarah dikebumikan di tanah perkuburan sama dengan ibunya, Allahyarham Noor Aini Mohamad yang meninggal dunia pada 26 Jun 2013 akibat komplikasi pelbagai penyakit. - Sumber Awani

ARTIKEL BERKAITAN: 'Banyak kebaikan dibuat Siti Sarah, duit bulanan diguna untuk sedekah'

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!