Bursa Malaysia dibuka tinggi
BURSA Malaysia meneruskan kenaikan pada Isnin untuk diniagakan tinggi pada sesi awal hari ini didorong oleh belian yang berterusan di kaunter produk perindustrian dan perkhidmatan yang terpilih serta perkhidmatan kewangan dalam persekitaran prospek berhati-hati dalam pasaran serantau, kata peniaga.
Pada jam 9.15 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 7.04 mata kepada 1,503.77 daripada 1,496.73 semasa ditutup pada Isnin.
Indeks dibuka tinggi 2.70 mata kepada 1,499.43.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 291 berbanding 201, manakala 312 kaunter tidak berubah, 1,400 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 435.36 juta unit bernilai RM211.78 juta.
Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata indeks utama dijangka terus diniagakan tidak banyak berubah dengan paras halangan pada 1,500-1,520 dan paras sokongan pada 1,450-1,480.
“Pelabur dijangka terus optimis terhadap sektor yang mencatatkan pemulihan seperti saham pengguna dan bahan binaan berikutan kadar vaksinasi yang lebih tinggi dan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat yang menjadi tumpuan. Selain itu, sektor teknologi masih mendapat perhatian dengan jangkaan positif untuk musim pelaporan pendapatan pada Ogos,” katanya.
Bagaimanapun, katanya walaupun terdapat trend meningkat di Wall Street, Covid-19 dan perkembangan politik semasa di Malaysia dijangka terus mendorong minat belian di bursa tempatan.
Firma penyelidikan itu berkata FBM KLCI mencatatkan kenaikan pada Isnin sebelum cuti umum dengan jumlah dagangan yang rendah.
“FBM KLCI dan pasaran lebih luas tinggi pada Isnin kebanyakannya didorong oleh kenaikan dalam sektor berkaitan pengguna serta pengangkutan dan logistik selepas pengumuman mengenai kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) untuk individu yang mendapat vaksinasi sepenuhnya,” katanya.
Pasaran tempatan turut memberi reaksi yang baik terhadap Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia yang lebih baik daripada jangkaan yang meningkat 1.4 peratus tahun ke tahun pada Jun.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals, masing-masing menambah 4.0 sen kepada RM8.04 dan RM8.04, Public Bank dan TNB, masing-masing naik 2.0 sen kepada RM3.98 dan 9.70 manakala IHH Healthcare merosot 1.0 sen kepada RM5.78.
Daripada saham aktif, TA Win naik 1.5 sen kepada 18.5 sen, TFP Solutions dan Scope Industries, masing-masing meningkat 1.0 sen kepada 20.5 dan 28.5 sen manakala Tanco tidak berubah pada 21.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 44.73 mata kepada 11,043.07, FBM ACE meningkat 71.26 mata kepada 7,265.47, FBM 70 menokok 52.10 mata kepada 14,647.04, Indeks FBM Emas Shariah menambah 36.59 mata kepada 12,108.78 dan Indeks FBMT 100 naik 47.20 mata kepada 10,754.34.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 71.33 mata kepada 14,798.26, Indeks Perladangan naik 23.89 mata kepada 6,125.23 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 1.43 mata kepada 190.75. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!