Tak perlu bajet tambahan: Guan Eng
PUTRAJAYA - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjelaskan, tiada bajet tambahan diperlukan susulan komitmen kerajaan menyalurkan pelbagai insentif atau subsidi kepada rakyat.
Menurutnya, pemberian subsidi akan diteruskan berikutan prestasi kerajaan melakukan beberapa penjimatan menerusi sistem pentadbiran yang berprinsip cekap, amanah dan telus.
Tambah beliau, hasil yang diperoleh daripada penjimatan kerajaan akan kongsikan bersama rakyat menerusi saluran subsidi seperti Bantuan Sara Hidup Golongan Bujang (RM100) dan Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi (BPPT) sebanyak RM100 untuk penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) termasuk subsidi minyak.
"Pemberian subsidi petrol pula bergantung pada harga minyak di pasaran. Jika harga minyak turun maka subsidi akan kurang tetapi, sekiranya melambung tinggi kerajaan akan memberikan subsidi lebih supaya rakyat tidak terbeban.
"Atas faktor tersebut pihak Kabinet membuat keputusan supaya mengehadkan harga siling bagi harga runcit petrol RON95," ujarnya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Semalam, Guan Eng mengumumkan had maksimum harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM2.08 seliter berbanding RM2.20 seliter sebelum ini.
Harga runcit RON95 akan dihadkan kepada RM2.08 seliter meskipun harga minyak dunia meningkat pada masa ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!