Covid-19: Pelan tindakan khas vaksinasi ibu hamil perlu disegerakan

Mohd Aizuddin
Mohd Aizuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan trend peningkatan kes ibu hamil positif Covid-19 yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada masa ini amat membimbangkan.

Ketua Penerangan AMK, Mohd Aizuddin Ariffin berkata, susulan hal itu kerajaan perlu melaksanakan satu pelan tindakan khas vaksinasi kepada golongan terbabit secara komprehensif pada kadar segera.

Menurutnya, pelaksanaan itu bagi memastikan ibu hamil mendapat vaksin secepat mungkin kerana koordinasi yang tidak teratur serta lambat dalam membuat keputusan hanya akan menyebabkan jumlah nyawa korban bertambah.

"Keadaan ini secara kolektifnya banyak melibatkan wanita muda. Mereka adalah tonggak harapan negara yang akan mencorakkan kejayaan sesebuah institusi keluarga," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Aizuddin merujuk pandangan Pakar Perunding Perubatan Reproduktif, Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Dr Muzirah Mohd Zain yang menyifatkan keadaan ibu hamil yang dijangkiti Covid-19 adalah sangat bahaya.

Pada Jumaat lalu, Dr Muzirah dalam hantaran di Facebooknya berpendapat kemungkinan wanita hamil yang positif Covid-19 adalah dua kali ganda berisiko tinggi perlu dimasukkan ke ICU dan tiga kali ganda risiko untuk mendapat bantuan pernafasan.

Mengulas lanjut, Aizuddin berkata, pandangan Dr Muzirah mesti dipandang serius walaupun terdapat pekeliling yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan kepada setiap Pengarah Kesihatan Negeri untuk mengutamakan pemberian vaksin untuk ibu hamil namun, langkah ini masih belum mencukupi.

Menurutnya, satu pasukan petugas bersepadu (integrated task force) perlu dibentuk di seluruh negara bukan sahaja melihat kepada isu vaksinasi ibu hamil, bahkan keperluan sokongan kesihatan mental dan kaedah penjagaan.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin ada dalam kalangan ibu-ibu hamil dibelenggu rasa trauma dan bimbangan. Begitu juga mereka yang telah kehilangan ahli keluarga. Mereka harus dibantu dan diberi sokongan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!